Samsung membawakan televisyen QLED 8K dengan saiz skrin 98-inci ke rantau Asia Tenggara sekitar bulan April ini.

Forum Asia Tenggara dan Oceania Tahunan Samsung secara rasminya bermula di Singapura hari ini. Kebiasaannya, forum berkenaan menyediakan platform buat Samsung mempertontonkan produk terbarunya seperti perkakas elektrik di rumah ke pasaran Asia Tenggara.

Antara yang mencuri tumpuan di dalam acara tersebut adalah pengumuman TV QLED 8K dengan skrin 98-inci, Q950 untuk rantau Asia Tenggara.

Televisyen berkenaan menawarkan resolusi maksimum 7680 x 4320 dan sebagaimana peranti-peranti moden masa kini, ia tampil dengan pelbagai ciri tambahan. Antaranya teknologi sudut Ultra Viewing yang telah dipertingkatkan. Secara ringkasnya, teknologi tersebut membolehkan penonton menonton TV tersebut dari mana-mana arah tanpa gangguan silau atau pantulan cahaya dari luar.

Televisyen Samsung Q950 turut dimuatkan dengan Direct Full Array yang memberikan kawalan kecerahan yang lebih jitu. Seterusnya, membolehkan setiap LED di belakang panel paparanĀ  dilaraskan bagi meningkatkan kualiti tayangan.

Mengikut jejak langkah versinya yang terdahulu, Q950 turut menyokong piawaian HDR10+ bagi menyediakan lebih kawalan terhadap tahap kontras. Televisyen berkenaan turut didatangkan bersama Samsung Ambient Mode – fungsi yang menyerupai ‘screen saver’ pada komputer dengan memaparkan foto-foto pilihan pengguna atau menayangkan foto tekstur yang menyerupai dinding di belakang TV tersebut.

Q950 turut menyediakan sokongan Bixby, namun yang pentingnya Samsung turut membuka sokongan untuk pembantu digital bersuara lain seperti Alexa dan Google Assistant. Selain itu TV terbaru keluaran Samsung ini juga turut menyokong Apple AirPlay 2.

Televisyen Samsung Q950 dijangka hadir ke pasaran sekitar bulan April ini dan setakat ini masih belum ada maklumat mengenai harga yang akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia.

Tinggalkan komentar