Samsung dikhabarkan akan mengumumkan Galaxy Note 10 pada 10 Ogos ini dan kali ini akan memberikan segala yang terbaik bagi memastikan ianya setanding dengan mana-mana telefon pintar mercu lain di pasaran.
Justeru, Samsung berkemungkinan mengikuti trend semasa dengan tidak menyertakan slot kad mikroSD pada sesetengah model Note 10 nanti. Pada kebiasaannya Samsung sentiasa menyediakan slot kad mikroSD pada peranti-peranti mercu keluarannya. Namun, keadaan mungkin akan berubah tidak berapa lama lagi.
Menurut Max Weinbach, Samsung sedang merancang untuk melancarkan Note 10 dan Note 10 Pro dengan salah satunya berkemungkinan tiada slot kad mikroSD. Selain itu, telefon pintar ini juga dikatakan tiada bicu audio dan akan digantikan dengan fon telinga USB Type-C AKG.
5 tahun dahulu, Samsung berdepan kritikan kerana tidak menyertakan slot kad mikroSD pada Galaxy Note 5. Tetapi, untuk kali ini keadaan mungkin sudah berubah dan sesetengah pengguna mungkin tidak kisah jika ianya tidak disediakan.
Untuk kameranya pula, Max Weinbach mendakwa Galaxy Note 10 menawarkan tri-kamera yang disusun secara menegak. Manakala Note 10 Pro pula akan dilengkapi dengan tetapan kamera 3+1 yang juga disusun secara menegak. Kedua-dua peranti ini juga dikhabarkan mempunyai lubang kamera terletak pada bahagian paparan hadapannya.
Samsung dijangka akan melancarkan siri Galaxy Note 10 pada bulan Ogos dan akan mula memasarkannya lewat bulan yang sama. Telefon-telefon pintar ini juga akan hadir dengan pemprosesan Snapdragon dan Exynos.
Sumber berita diperoleh dari Max Weinbach













