Ibu pejabat Samsung Group di Seoul telah diserbu oleh pihak pendakwa raya untuk tujuan soal siasat berhubung isu penggabungan di antara dua anak syarikat di bawahnya. Serbuan ini turut melibatkan sebuah lagi agensi kerajaan Korea Selatan yang mempunyai kaitan dengan isu ini, Perkhidmatan Pencen Kebangsaan (National Pension Service, NPS), organisasi pengurusan pencen terbesar negara berkenaan.

Badan siasatan turut melihat kesan daripada penggabungan di antara Samsung C&T Corp dan Cheil Industries yang berjumlah sekitar $8 billion. Tindakan penggabungan berkenaan membolehkan Timbalan Pengerusinya, Lee Jae-yong mengukuhkan kedudukannya di dalam urusan Samsung Electronics yang semakin berkembang maju.

Pada asalnya, penggabungan berkenaan ditentang kerana ianya tidak adil untuk pemegang-pemegang kecil saham Samsung. Bagaimanapun, hasrat penggabungan berkenaan diteruskan setelah mendapat persetujuan dari NPS. Tabung pencen berkenaan menguasai 11.2 peratus unid di dalam Samsung C&T, seterusnya menjadikan ia sebagai pemegang saham tunggal terbesar di dalam saham syarikat Samsung.

Bagaimanapun, keputusan persetujuan penggabungan berkenaan masih lagi diselubungi tanda tanya dan ini membawa kepada badan siasatan kepada skop yang lebih luas lagi. Ramai pihak menjangkakan siasatan ini akan turut melibatkan skandal politik yang melingkari Presiden Park Geun-hye yang sebelum dituduh menyalah gunakan kuasanya.

Presiden Park telah menggunakan kuasanya bagi menekan konglomerat terbesar Korea Selatan ini untuk memberikan sumbangan kepada program-program sosial anjurannya. Samsung bukanlah satu-satunya syarikat yang diheret ke dalam skandal ini. Malah, pihak atasan dari Hyundai dan LG turut sama dipanggil untuk siasatan.

Sumber berita diperoleh dari Reuters

1 komen

Tinggalkan komentar