Kamera papan pemuka (dashcam) amat mustahak buat pemandu kenderaan atas pelbagai sebab terutamanya keselamatan. Bagi anda yang memilikinya, menukar kad memori secara kerap adalah lumrah kerana tempoh hayat penggunaannya yang singkat kesan dari aktiviti memadam dan merekod semula yang tinggi.

Oleh yang demikian, Samsung telah memperkenalkan kad mikroSD lebih lasak bagi tujuan tersebut melalui Samsung PRO Endurance. Kad ini dikatakan mempunyai jangka hayat sehingga 16 tahun untuk rakaman secara berterusan.

Berdasarkan kenyataan media yang telah dikeluarkan, kad mikroSD baharu ini mempunyai tempoh hayat sehingga 16 tahun bagi kapasiti 256GB. Tempoh hayat kad mikroSD ini berkurangan mengikut kapasiti yang ditawarkan dengan tempoh hayat paling rendah adalah dua tahun bagi kapasiti 32GB. Menurutnya lagi, jangkaan hayat ini adalah berdasarkan pengujian yang dilakukan melalui rakaman Full HD pada 26Mbps.

Selain itu, kad mikroSD Samsung PRO Endurance menawarkan kelajuan baca dan tulis masing-masing 100MB/s dan 30MB/s. Samsung turut menyatakan kad mikroSD ini mempunyai kerintangan terhadap air, suhu melampau, sinar X, magnet serta tahan apabila dijatuhkan.

Samsung PRO Endurance bukan sekadar kegunaan kamera papan pemuka semata-mata. Malahan, ia juga boleh dikhususkan bagi kegunaan kamera litar tertutup (CCTV), kamera pintu dan kamera badan (bodycam). Pengguna kamera lasak seperti GoPro juga dapat memanfaatkan kelebihan pada kad mikroSD ini.

Menurut Samsung, kad mikroSD Samsung PRO Endurance berharga di antara US$10.99 (~RM48) hingga US$54.99 (~RM239), masing-masing bagi kapasiti 32GB dan 256GB. Tidak dapat dipastikan bilakah kad mikroSD ini akan menemui pengguna di Malaysia serta harga mengikut setiap kapasitinya di pasaran tempatan kelak.

Tinggalkan komentar