Ketika ini perkhidmatan penstriman permainan telah mula giat dikembangkan. Selain dari perkhidmatan Steam Link, NVIDIA GeForce Now dan yang bakal hadir nanti Google Stadia, Samsung turut tidak ketinggalan dengan memperkenalkan perkhidmatan sedemikian melalui aplikasi PlayGalaxy yang kini sedang di peringkat beta.
Fungsi aplikasi PlayGalaxy secara asasnya tidak jauh bezanya dengan perkhidmatan penstriman permainan lain sungguhpun terdapat beberapa kekurangannya. Antara yang diperlukan untuk menggunakan perkhidmatan ini adalah sambungan internet berkelajuan tinggi. Mengikut saranan Samsung, pengguna diperlukan memasang router berkelajuan Gigabit.
Sungguhpun begitu, Samsung menyatakan aplikasi ini masih lagi mampu membuat penstriman permainan melalui rangkaian Wi-Fi biasa mahupun rangkaian 4G yang stabil dan 5G.
Selain itu PC yang bakal melakukan penstriman ke peranti Galaxy Note 10 berkenaan juga perlu berspesifikasi tinggi. Ia sekurang-kurangnya memerlukan pemprosesan Intel Core i5 ke atas, kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1060 atau AMD Radeon RX 550 ke atas dan RAM 8GB bagi membolehkan permainan distrimkan ke peranti dengan lebih lancar.
https://www.youtube.com/watch?v=HKE25h9QK1Y
Untuk kawalan, pengguna juga perlu menggunakan pad kawalan bluetooth untuk dipadankan dengan peranti selain memerlukan satu akaun Samsung yang aktif.
Setakat ini aplikasi ini hanya mampu digunakan pada peranti siri Galaxy Note 10 dan tidak dapat dipastikan bila ianya akan disesuaikan pada peranti-peranti Samsung lain.
Sumber berita diperoleh dari Techspot













