Samsung meluaskan lagi telefon pintar siri Galaxy A keluarannya dengan menambahkan Galaxy A70. Telefon pintar peringkat pertengahan ini hadir dengan fungsi-fungsi yang biasa didapati pada telefon-telefon pintar yang setaraf dengannya bersama-sama sedikit keunikan.
Galaxy A70 hadir dengan paparan skrin Infinity-U Super AMOLED 6.7-inci berbanding 6.4-inci yang ditawarkan pada Galaxy A30 dan A50. Selain itu, ia juga merupakan telefon pintar dari siri Galaxy A yang menawarkan fungsi pengimbas cap jari terbina dalam skrin.
Selain itu, Galaxy A70 juga hadir dengan kamera yang lebih besar penderianya jika dibandingkan dengan A30 dan A50. Aturan tri-kamera pada kamera belakangnya menyediakan sebuah kamera utama 32MP f/1.7,sebuah kamera bersudut ultra luas 8MP f/2.2 dan kamera berlensa kedalaman 5MP f/2.2. Untuk kamera hadapannya yang ditempatkan pada bahagian takuk menyediakan sebuah kamera 32MP f/2.0.
Dari segi spesifikasi, telefon pintar terbaru Samsung ini memuatkan cipset Exynos lapan teras dan juga pilihan RAM 6GB atau 8GB. Untuk storan, telefon pintar yang menggunakan antaramuka Samsung One UI berasaskan Android 9.0 Pie ini mempunyai kapasiti 128GB. Selain itu, dengan bateri berkapasiti 4,500mAh ini menyokong teknologi pengecasan pantas Samsung Super Fast.
Telefon pintar yang menyokong penggunaan dwi-SIM ini hadir dengan empat piliha warna iaitu Black, Blue, Coral, dan White.
Setakat ini tidak ada maklumat lanjut mengenai harga dan tarikh jualannya untuk pasaran Malaysia dan pihak Samsung menyatakan lebih banyak maklumat akan didedahkan pada 10 April 2019 ini.
Sumber berita diperoleh dari Samsung













