Laporan terkini dari media terbitan di Korea Selatan menyatakan Samsung akan mengurangkan pengeluaran telefon pintarnya sehingga 30 juta unit pada tahun 2022. Terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan pengurangan pengeluaran ini.
Punca utamanya adalah disebabkan oleh peningkatan kadar inflasi yang memberi kesan terhadap perbelanjaan pengguna, masalah kekurangan bekalan komponen yang masih berlarutan dan juga peperangan di Ukraine. Samsung dijangkakan akan menilai semula kadar pengeluaran untuk seluruh perantinya dari peringkat pemula hinggalah ke mercu.
Samsung pada asalnya merancang untuk menghasilkan sejumlah 310 juta telefon pintar bagi tahun 2022. Namun, perkembangan terkini telah memaksa gergasi teknologi dari Korea Selatan ini mengurangkan sasarannya kepada 280 juta unit.
Sungguhpun jumlah pendapatan pada sukuan pertamanya mencatat rekod antara yang tertinggi bersama-sama sejumlah 73.7 juta telefon pintar telah dipasarkan ke seluruh dunia, Samsung dilihat akan menilai semula sasarannya pada tahun ini.
Selain Samsung, syarikat-syarikat lain seperti Apple turut dilaporkan mengurangkan pengeluarannya dengan mensasarkan pengeluaran iPhone SE kurang 20% dari sasaran.













