Samsung sentiasa menyediakan sokongan S Pen untuk siri Galaxy Z Fold walaupun pena stylus berkenaan tidak didatangkan bersekali dengannya. Hanya Z Fold Special Edition sahaja yang menyediakan sokongan tersebut atas keperluan menjadikan ia lebih nipis.
Baru-baru ini terdapat laporan yang mendakwa Samsung akan membuat perubahan pada S Pen bagi menjadikan ia masih lagi boleh disokong walaupun dengan ketebalan Z Fold yang akan datang lebih nipis.
Menurut sumber yang dipetik oleh ETNews, Samsung dikatakan sedang mempertimbangkan untuk tidak memasangkan digitiser ke dalam telefon pintar boleh lipat keluarannya pada tahun hadapan. Ini mempunyai kaitan dengan kaedah input pen baharu yang akan menggantikan teknologi yang sedia ada.
Buat masa ini digitiser yang digunakan merupakan jenis resonans elektromagnetik (electromagnetic resonance, EMR) yang ditempatkan di bawah paparan untuk membaca input daripada stylus menggunakan kuasa elektrik.
Melalui kaedah baharu yang dijangka mungkin akan digunakan oleh Samsung mirip dengan Apple Pencil yang menggunakan teknologi elektrostatik aktif (active electrostatic, AES). Ia menggerakkan bit janaan elektrik dari paparan ke stylus yang seterusnya memerlukan stylus berkenaan mempunyai bateri di dalamnya serta perlu dicaskan.
Penggunaan stylus dengan teknologi AES ini juga membolehkan Galaxy Z Fold 7 senipis Special Edition. Cuma tidak dapat dipastikan adakah S Pen baharu tersebut boleh dicaskan dengan hanya melekapkan secara magnetik ke telefon, seperti yang dilakukan pada siri Galaxy Tab S10.













