Samsung telah mengumumkan edisi khas untuk Galaxy Z Flip 3. Versi telefon pintar Samsung boleh lipat ini dikenali sebagai Galaxy Z Flip 3 Pokemon Edition dan akan mula dijual di Korea Selatan pada minggu ini.
Galaxy Z Flip 3 Pokemon Edition kini disenaraikan di laman web Samsung Korea Selatan. Telefon ini didatangkan bersama-sama kotak pembungkusan yang besar, berbeza dengan kebiasaan Samsung kebelakangan ini. Di dalamnya mengandungi:
- Telefon Samsung Galaxy Z Flip 3 Pokemon Edition
- Set Clear Cover Pikachu
- Pokemon Pouch dengan satu tali lanyard
- Pek Custom Pokemon
- rantai kunci Pikachu
- Cagak berbentuk Poke Ball
Clear Cover Pikachu berkenaan boleh disesuaikan. Manakala telefon tersebut turut didatangkan dengan beberapa tema unik, nada dering dan hiasan latar bertemakan Pokemon. Maklumat lanjut mengenai telefon ini akan hadir dalam minggu ini.
Galaxy Z Flip 3 Pokemon Edition akan mula dijual di laman web Samsung Korea Selatan dalam tempoh lima hari lagi. Samsung buat masa ini tidak menyatakan harga dan juga jumlah unit yang akan dijual nanti. Juga tidak diketahui sama ada edisi khas ini akan hadir ke pasaran-pasaran lain kelak.













