Samsung baharu sahaja mengadakan acara Unpacked sebentar tadi yang memperkenalkan pelbagai peranti Galaxy baharu seperti Galaxy Z Flip 4. Dibina dengan asas yang telah diperkuatkan menerusi Galaxy Z Flip 3 yang dilancarkan pada tahun lepas, model baharu ini kelihatan tidak jauh beza dari sebelumnya.

Namun, jika dilihat dengan lebih teliti, terdapat sebilangan perubahan pada luarannya seperti bucunya kini yang lebih rata. Samsung turut menyatakan Galaxy Z Flip 4 kini memiliki engsel yang lebih nipis sungguhpun mempunyai ketebalan yang sama dengan Galaxy Z Flip 3 iaitu 17.1 hingga 15.9mm apabila dilipat dan 6.9mm apabila dibuka.

Model baharu ini juga sedikit berat beberapa gram berbanding model sebelumnya dan ini mengambil kira faktor baterinya yang lebih besar kapasitinya iaitu 3,700mAh berbanding 3,300mAh pada Z Flip 3.samsung-galaxy-z-flip4-rasmi malaysia

Ciri Super Fast Charging pada telefon baharu ini juga menyokong pengecasan pantas. Bagaimanapun, palam pengecas tidak disertakan bersama-sama di dalam kotak pembeliannya.

Samsung Galaxy Z Flip 4 guna Snapdragon 8+ Gen 1

Selain peningkatan pada kapasiti bateri, Galaxy Z Flip 4 juga dikuasakan oleh pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1. Bagaimanapun, pilihan RAM yang ditawarkan masih lagi sama seperti tahun lepas iaitu 8GB sahaja.samsung-galaxy-z-flip 4-samsung pay

Samsung juga masih lagi mengekalkan penggunaan paparan Full HD+ Dynamic AMOLED 2X 6.7-inci 120Hz sebagai skrin utamanya dan paparan Super AMOLED 260 x 512 1.9-inci sebagai Cover Screen untuk Galaxy Z Flip 4 ini.

Bahan tahan lasak Armor Aluminium masih lagi digunakan untuk kerangkanya. Manakala Corning Gorilla Glass Victus+ yang terdapat pada siri Galaxy S22 sebelum ini turut digunakan pada Cover Screen dan bahagian belakangnya bagi meningkatkan kelasakan telefon pintar boleh lipat yang menerima penarafan kerintangan air dan debu IPX8.samsung-galaxy-z-flip 4-cover screen

Tidak banyak perubahan pada kamera belakang Galaxy Z Flip 4 kerana ia masih lagi menggunakan kamera ultra-lebar 12MP f/2.2 dan kamera Dual Pixel 12MP f/1.8. Malah, kamera hadapannya juga masih sama iaitu 10MP f/2.4. Dalam pada masa yang sama, Samsung menyatakan Galaxy Z Flip 4 menyediakan sensor yang lebih cerah 65% melalui penggunaan cipset Snapdragon 8+ Gen 1.samsung-galaxy-z-flip4-kamera

Tidak ketinggalan, ciri unik Flex mode turut diperkenalkan pada model baharu ini. Anda boleh menggunakannya dengan membuka Galaxy Z Flip 4 pada sudut di antara 75° hingga 115° untuk membolehkan anda mengambil foto atau video tanpa menggunakan tripod. Anda juga boleh menggunakan Cover Screen sebagai pemidang tilik (viewfinder) untuk memudahkan anda mengambil foto atau video.

Anda kini boleh membuat pra-tempahan Samsung Galaxy Z Flip 4 di eStore Samsung Malaysia pada harga RM4,099 untuk versi storan 128GB. Untuk pilihan konfigurasi storan 256GB dan 512GB pula anda boleh mendapatkannya pada harga masing-masing RM4,399 dan RM4,899.

Tinggalkan komentar