Samsung Galaxy Watch 4 merupakan jam tangan pintar pertama yang menampilkan perisian WearOS 3. Ia merupakan perubahan besar dari jam tangan pintar keluaran Samsung sebelum ini yang menggunakan Tizen.
Tahun ini, dijangkakan Galaxy Watch 5 akan dilancarkan oleh Samsung menurut laporan oleh pentiris maklumat Evan Blass. Beliau turut berkongsikan grafik pengolokan jam tangan pintar berkenaan.
Antara yang mencuri tumpuan mengenai jam tangan pintar berkenaan adalah ketiadaan model ‘Classic’ seperti yang ditawarkan sebelum ini. Ia akan digantikan dengan Galaxy Watch 5 Pro. Saiznya juga dilihat akan ditawarkan dalam satu saiz sahaja iaitu 45mm dan boleh didapati dengan pilihan hitam atau kelabu titanium dengan model LTE+GPS atau GPS sahaja.
Untuk rekaannya pula, perubahan ketara pada Galaxy Watch 5 ini adalaah ketiadaan bingkai berputar di sekelilingnya. Sebelum ini, Galaxy Watch 4 Classic mempunyai bingkai berputar dengan dua butang pada sisinya yang boleh digunakan untuk mengendalikan pelbagai sistem di dalamnya.
Sebagai perbandingan, Galaxy Watch 5 Pro mempunyai bingkai yang tebal dan menimbul dengan lengkungannya bersambungan dengan paparan pada bucunya. Bingkai berkenaan berkemungkinan mempunyai ciri sentuhan kapasitatif, sama seperti model standard Watch 4 pada tahun lepas. Tali jamnya pula kelihatan sama ada dari jenis getah atau silikon yang disambungkan dengan kekancing (clasp) boleh lipat.
Galaxy Watch 5
Evan Blass juga menunjukkan grafik yang didakwa sebagai Galaxy Watch 5. Sama seperti Galaxy Watch 5 Pro, jam tangan model standard ini boleh didapati dengan pilihan sama ada LTE+GPS atau LTE sahaja.
Ia juga akan menampilkan lebih banyak pilihan warna dan didatangkan dengan dua pilihan saiz. Berbeza dengan Galaxy Watch 5 Pro, model ini mempunyai bingkai rata dan paparan yang mirip dengan Galaxy Watch 4 dan Galaxy Watch Active. Ia tidak mempunyai kekancing boleh lipat dan hanya menggunakan kancing (buckle) biasa sahaja.
Kedua-dua jam tangan pintar ini mungkin akan menggunakan cip Exynos W920 yang sama digunakan pada Galaxy Watch 4 sebelum ini. Perisiannya pula akan menggunakan One UI Watch 4.5 berasaskan WearOS 3.5. Setakat ini Samsung masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkembangan ini.













