Desas-desus mengatakan Samsung akan memperkenalkan beberapa produk utamanya awal 2022. Salah satu peranti yang diperkatakan adalah telefon pintar Samsung Galaxy S generasi berikutnya.
Turut dikatakan bakal dilancarkan bersama-sama kelak siri tablet Galaxy Tab S baharu. Dua model daripada siri berkenaan dilaporkan telah tertiris di alam maya iaitu Galaxy Tab S8 dan Galaxy Tab S8 Ultra.
Kedua-dua maklumat yang tertiris tersebut datangnya dari Steve Hemmerstoffer, a.k.a OnLeaks. Berdasarkan imej pengolokan yang dikongsikan oleh beliau, tablet Samsung generasi berikutnya menyamai rekaan generasi sebelumnya.
Pada bahagian tablet berkenaan telah memperlihatkan dwi-kamera bersama-sama garis pada sebelah atas dan bawah permukaan belakangnya.
Pastinya, varian Ultra dari siri tablet ini menampilkan paparan skrin yang lebih besar. Menurut OnLeaks, tablet ini berukuran 325.8 x 207.9 x 5.4mm dan menampilkan paparan 14.6-inci. Ada juga pendapat yang mengatakan paparan ini akan menampilkan panel OLED beresolusi 2960 x 1848 piksel, dan kadar penyegaran semula 120Hz.
Apa yang lebih menarik, terdapat takuk pada sebelah atasnya yang dijangka menempatkan sebuah kamera paparan hadapan.
Untuk Galaxy Tab S8 pula, ia dikatakan berukuran 253.75 x 165.30 x 6.24mm dengan paparan lebih kecil iaitu 11-inci. Skrinnya juga dijangka menggunakan panel IPS dengan resolusi 1600 x 2560 piksel dan kadar penyegaran semula 120Hz.
Selain mempunyai saiz yang berbeza serta bingkai yang lebih tebal berbanding varian Ultra, Galaxy Tab S8 ini juga mempunyai kedudukan kamera hadapan yang sama seperti generasi sebelumnya.
Spesifikasi Samsung Galaxy Tab S8 Ultra dan Tab S8 turut tertiris
Dari segi spesifikasi, varian Ultra ini dijangka akan menggunakan cipset mercu Snapdragon baharu yang masih lagi belum diumumkan. Ia juga mempunyai RAM sehingga 12GB dan storan 512GB. Serta bateri sehingga 12,000mAh dan sokongan pengecasan pantas sehingga 45W.
Dalam pada masa yang sama, Galaxy Tab S8 pula dikatakan menggunakan Snapdragon 888, RAM 8GB dan storan 128GB. Ia juga menggunakan bateri 8,000mAh dan sokongan pengecasan pantas 45W.
Seperti biasa, kita hanya akan mengetahui ketepatan maklumat yang ditiriskan ini sehinggalah pihak Samsung sendiri yang mengeluarkan kenyataan rasminya.
Kebanyakan pihak berpendapat Samsung akan mengadakan acara pelancaran besarnya sekitar bulan Januari atau Februari 2022 nanti.













