Acara Galaxy Unpacked yang memperkenalkan telefon pintar Samsung Galaxy S22, S22 Plus dan S22 Ultra pada malam tadi turut memperkenalkan tablet Galaxy Tab S8. Terdapat tiga model ditawarkan khusus untuk tablet ini dengan Galaxy Tab S8 Ultra menawarkan spesifikasi yang tertinggi.
Spesifikasi Samsung Galaxy Tab S8 Ultra
Selaku model yang terbaik dikalangan siri ini, Galaxy Tab S8 Ultra menawarkan paparan WQXGA+ Super AMOLED sebesar 14.6-inci. Paparan dengan ketumpatan piksel 240ppi tersebut turut menyokong kadar penyegaran 120Hz. Bingkai pada paparan yang ditawarkan pada tablet ini juga amat tipis.
Dari segi saiz, ini bukanlah saiz tablet terbesar yang pernah ditawarkan oleh Samsung. Ini kerana Samsung pernah memperkenalkan tablet berukuran 18.4-inci melalui Galaxy View pada 2016.
Apa yang menarik pada paparan Galaxy Tab S8 Ultra ini adalah pada takuknya yang menempatkan kamera bersudut lebar 12MP dan ultra lebar 12MP. Samsung juga telah menambahkan fungsiĀ auto-framing yang membolehkan anda sentiasa difokuskan ketika panggilan video dibuat. Tidak ketinggalan, terdapat dwi-kamera disediakan pada bahagian belakangnya yang mengandungi 13MP dan 6MP.
Di dalam tablet ini disediakan cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1 bersama-sama konfigurasi memori dan storan masing-masing sehingga 16GB dan 512GB. Anda juga boleh memperluaskan storannya melalui kad mikroSD sehingga 1TB. Kesemuanya ini dimuatkan ke dalam badannya yang diperbuat daripada aluminium yang berketebalan hanya 5.5mm dan seberat 726g.
Ia didatangkan dengan Android 12 yang mana Samsung dijangka akan memperkenalkan Android 12L khusus untuk pengoptimasian peranti berskrin besar. Paparan tablet ini juga boleh digunakan bersama-sam Galaxy S22 Ultra untuk dijadikan sebagai skrin kedua.
Terdapat bateri berkapasiti 11,200mAh yang turut menyokong pengecasan sehingga 45W. Tiada palam pengecas disediakan bersama-sama kotak pembungkusan tablet ini. Namun, apa yang lebih penting S-Pen versi terkini disediakan bersama-sama dengannya.
Lain-lain fungsi, tablet ini menyediakan fungsi imbasan cap jari terbina dalam paparan, empat pembesar suara dengan sokongan Dolby Atmos dan penalaan AKG, serta tata-susunan tri-mikrofon. Bagi ketersambungannya pula, disediakan WiFi 6E dan Bluetooth 5.2. Untuk sambungan selular pula, didapati model 5G tidak ditawarkan bagi pasaran Malaysia setakat ini.
Samsung Galaxy Tab S8 Wi-Fi dengan memori 12GB dan storan 256GB dijual pada harga RM5,899 di pasaran Malaysia. Untuk aksesori-aksesori lain pula, anda boleh mendapatkan info lanjut menerusi Samsung Malaysia.
Spesifikasi Galaxy Tab S8 dan Tab S8 Plus
Terdapat dua lagi model di dalam siri tablet ini iaitu Galaxy Tab S8 dan Galaxy Tab S8 Plus yang sedikit besar saiznya. Untuk Galaxy Tab S8, ia mempunyai paparan TFT LTPS WQXGA 11-inci dengan ketumpatan piksel 276ppi. Manakala Galaxy Tab S8 Plus pula ia menawarkan paparan Super AMOLED WQXGA+ 12.4-inci dengan kadar ketumpatan 266ppi. Kedua-dua tablet ini berkeupayaan menyediakan kadar penyegaran semula paparan sehingga 120Hz. Bagaimanapun, paparan bagi kedua-dua tablet ini tidak mempunyai takuk sebagaimana Galaxy Tab S8 Ultra.
Seperkara lagi yang membezakan antara kedua-dua tablet ini adalah pada saiz baterinya. Galaxy Tab S8 mempunyai bateri berkapasiti 8,000mAh, manakala Tab S8 Plus pula mempunyai bateri berkapasiti 10,090mAh. Kedua-duanya juga menyokong pengecasan sehingga 45W, namun tidak menyediakan pengecas tersebut di dalam kotak pembungkusannya.
Fungsi keselamatan biometrik bagi Galaxy Tab S8 disediakan pada sebelah sisinya, manakala Galaxy Tab S8 Plus disediakan pada paparannya. Model tablet yang lebih besar ini juga lebih berat iaitu 567g berbanding model yang lebih kecilnya pula hanya seberat 503g.
Sama seperti model Ultranya, dua model ini juga menggunakan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1 dengan pilihan RAM dan storan masing-masing ditawarkan sehingga 12GB dan 256GB. Hanya satu kamera hadapan disediakan untuk dua model ini iaitu 12MP. Manakala bahagian belakangnya pula disediakan dwi-kamera iaitu 13MP dan 6MP ultra-lebar.
Lain-lain ciri kebanyakannya sama seperti yang terdapat pada Galaxy Tab S8 Ultra iaitu pembesar suara kuad dengan Dolby Atmos, tri-mikrofon, sokongan Wi-Fi 6E, dan Bluetooth 5.2. Cuma 5G sahaja didapati tidak ditawarkan bagi pasaran Malaysia setakat ini. Tablet ini juga didatangkan dengan Android 12 dan juga S-Pen bersama-sama kotak pembeliannya.
Galaxy Tab S8 bagi model 128GB berharga RM3,299, manakala Galaxy Tab S8+ model 256GB berharga RM4,599. Untuk aksesorinya pula, pelbagai pilihan ditawarkan merangkumi book cover keyboard, slim book cover keyboard, book cover, protective standing cover, strap cover dan note view cover. Kedua-dua tablet ini ditawarkan dalam pilihan warna Silver, Pink Gold dan Graphite. Layari laman Samsung Malaysia untuk maklumat lanjut berkenaan Samsung Galaxy Tab S8 dan Galaxy Tab S8 Plus.
Promosi Samsung Galaxy Tab S8
Bersempena pelancaran Samsung Galaxy Tab S8, Samsung Malaysia mengumumkan pra-tempahan Samsung Galaxy Tab S8 bermula dari 10 Februari sehingga 3 Mac 2022.
Pra-tempahan bagi model tablet ini bakal melayakkan anda menikmati cenderahati percuma bernilai sehingga RM2,156. Anda juga akan menerima satu S Pen dan Book Cover Keyboard bersama-sama kotak pembungkusan yang bernilai RM1,738.
Tebus langganan selama satu tahun secara percuma Microsoft 365 Personal bernilai RM269 di portal Samsung Redemption Management System portal dan percuma satu Neoprene Pouch bernilai RM149.
| Models | RRP | Memory & Storage | Free Gifts |
| Samsung Galaxy Tab S8 Ultra | RM5,899 | 12GB + 256GB | Satu (1) S Pen dan satu (1) Book Cover Keyboard[3] di dalam kotak bernilai RM1,738,
Satu (1)-langganan Microsoft 365 Personal bernilai RM269[4] & Satu (1) Neoprene Pouch bernilai RM149 |
| Samsung Galaxy Tab S8+ | RM4,599 | 8GB + 256GB | |
| Samsung Galaxy Tab S8 | RM3,299 | 8GB + 128GB |
Anda juga ditawarkan potongan harga 30% untuk satu tahun pelan perlindungan Samsung Care+.
| Models | Harga langganan Samsung Care+ 1 tahun | Harga langganan Samsung Care+ 1 tahun selepas potongan 30% |
| Samsung Galaxy Tab S8 Ultra | RM330 | RM231 |
| Samsung Galaxy Tab S8+ | RM330 | RM231 |
| Samsung Galaxy Tab S8 | RM220 | RM154 |
Untuk membuat pra-tempahan Samsung Galaxy Tab S8, kunjungi Samsung Malaysia untuk maklumat lanjut.













