Samsung Malaysia baru-baru ini telah mengumumkan Galaxy Tab A lelaran (iteration) 2016 kini hadir ke pasaran Malaysia. Model 7-inci ini dijual pada harga RM799 dan amat bersesuaian bagi anda yang sedang mencari tablet Android berspesifikasi bagus dengan harga mampu milik.

Pada kebiasaannya, Samsung akan menawarkan dua jenis model. Sama ada model yang ada sambungan wifi sahaja atau mempunyai wifi dan 3G/LTE. Namun, untuk keluaran kali ini Samsung menawarkan model yang menyokong sambungan wifi dan 3G/LTE sahaja.

Sesuai dengan harga yang ditawarkan, Galaxy Tab A 7.0 menawarkan paparan IPS 7-inci 1280 x 800, pemprosesan empat teras 1.3 GHz dengan RAM 1.5 GB. Bagaimanapun, storan dalaman yang ditawarkan cuma 8 GB sahaja dan ini menyukarkan bagi pengguna yang ingin memasang aplikasi-aplikasi permainan bersaiz besar. Seperti kebanyakan peranti Android lain, tablet ini mempunyai slot SD mikro yang boleh menyokong sehingga 200 GB. Versi sistem operasi Android yang digunakan oleh tablet ini adalah Android 5.1 Lollipop.

Untuk kamera pula, tablet ini menawarkan 5 MP untuk kamera belakang, manakala 2 MP dipasang pada kamera pandang hadapan. Peranti ini menggunakan bateri berkuasa 4,000 mAh.Samsung-Galaxy-Tab-A-7_2016b

Tentunya, walaupun spesifikasi yang ditawarkan ini bukanlah terlalu canggih jika dibandingkan dengan model-model tablet lain yang berada di pasaran sekarang. Tablet ini masih lagi mampu menyediakan penggunaan media buat pengguna disamping penggunaan biasa yang ringan-ringan sahaja seperti melayari laman web.

Sumber berita diperoleh dari Facebook Samsung Malaysia

Tinggalkan komentar