Pembelian Samsung ke atas Viv Labs, pembangun asal aplikasi pembantu digital Apple Siri, nampaknya akan dimanfaatkan sebaiknya tidak lama lagi. Menurut Reuters, Samsung baru-baru ini telah mengesahkan pihaknya akan memperkenalkan pembantu digital berkepintaran buatan (Artificial Intelligence, AI) untuk telefon pintar keluarannya akan datang, Samsung Galaxy S8.

Melalui pembantu digital terbaru ini, Samsung ingin memberikan nafas baru terhadap apa yang boleh ditawarkan oleh Galaxy S8 selain dari menebus kembali kesilapan yang telah dilakukan oleh Note 7.

Cuma buat masa ini, Samsung tidak memperincikan apakah yang boleh dilakukan oleh pembantu digital ini. Apa yang dapat difahamkan melalui wawancara bersama Reuters adalah “para pembangun boleh melampirkan dan memuat naik perkhidmatan-perkhidmatan masing-masing kepada ejen kami”.

Mengikut desas-desus dari pembangun-pembangun, Viv mampu melakukan lebih dari apa yang AI-AI masa kini boleh lakukan. Ia dianggap sebagai Siri yang telah dipertingkatkan kuasanya.

Apapun, peminat-peminat Samsung yang mengidamkan Galaxy S8 mungkin perlu bersedia untuk menunggu masa yang lebih lama memandangkan proses pembangunan peranti ini bakal mengalami kelewatan. Menurut laporan daripada Wall Street Journal, kerja-kerja menyiapkan Galaxy S8 telah tertangguh selama berminggu-minggu. Penangguhan ini disebabkan oleh insiden-insiden Galaxy Note 7 yang dilaporkan pengguna mudah cepat panas dan ada sesetengahnya terbakar dan meletup.

Tentunya, Samsung tidak ingin insiden-insiden berkenaan berulang lagi untuk Samsung Galaxy S8 yang akan datang.

-Sumber berita diperoleh dari Reuters

1 komen

Tinggalkan komentar