Samsung mengumumkan integrasi kecerdasan buatan (AI) Perplexity ke dalam siri telefon pintar Galaxy S26. Integrasi ejen AI pada peringkat sistem operasi (OS) ini memberikan pengalaman automasi, carian, dan produktiviti yang lebih menyeluruh kepada pengguna.
Perplexity tidak sekadar ditawarkan sebagai aplikasi pemesejan sembang (chatbot) biasa. Ia ditanam secara langsung ke dalam sistem peranti sebagai ejen AI yang mampu memahami konteks secara menyeluruh merentasi pelbagai aplikasi. Lantas membolehkan pengguna menyelesaikan tugasan kompleks di latar belakang tanpa perlu membuka aplikasi secara berasingan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perplexity (CEO) Aravind Srinivas, kerjasama dengan Samsung ini bertujuan membina integrasi di peringkat sistem dengan frasa seruan khusus, akses kepada kawalan fizikal, dan keupayaan untuk membaca serta menulis dari aplikasi natif seperti Notes dan Calendar.
Pengguna boleh menyeru pembantu AI ini dengan menggunakan arahan suara “Hey Plex” atau melalui butang fizikal pada peranti.
Sistem ini berfungsi secara bersepadu dengan aplikasi rasmi Samsung seperti Notes, Calendar, Gallery, Clock, dan Reminders. Beberapa aplikasi pihak ketiga terpilih juga menawarkan sokongan sistem ini.
Perplexity akan beroperasi seiring dengan pembantu maya sedia ada seperti Bixby dan Google Gemini. Pengguna diberikan kebebasan memilih enjin AI mengikut kesesuaian tugas masing-masing.
Ejen AI ini juga mampu mencari maklumat di internet, merumuskan data kepada nota, dan menetapkan jadual acara pada kalendar hanya melalui satu arahan (prompt) sahaja.













