Siri Galaxy S25 buat masa ini masih lagi belum diumumkan, namun desas-desus mengenai peranti yang berkesinambungan dengannya telah pun mula kedengaran. Kali ini siri Samsung Galaxy S26 dikatakan akan menggunakan teknologi bateri silikon karbon.

Dakwaan tersebut hadir daripada @Jukanlosreve yang memetik daripada pentiris maklumat popular Ice Universe. Ia berdasarkan laporan daripada The Elec pada awal minggu lepas yang menyatakan Samsung mungkin akan menggunakan teknologi tindanan bateri seperti yang digunakan pada kenderaan elektrik.

Tidak dapat dipastikan sama ada teknologi tersebut akan mula diperkenalkan pada siri Samsung Galaxy S26 kelak atau tidak. Penggunaan teknologi bateri ini juga mampu meningkatkan kapasiti pengecasan bateri yang boleh disimpan tanpa perlu menjadikan peranti lebih tebal.

Dakwaan ini hadir tidak lama selepas Samsung mengumumkan teknologi kamera periskop ISOCELL ALoP bagi mengurangkan saiz bonggol kamera yang dikatakan akan diperkenalkan pada Galaxy S25 Slim kelak. Jika kedua-dua teknologi tersebut digunakan, pastinya Samsung akan memperkenalkan telefon pintar berspesifikasi mercu yang paling nipis di pasaran.

Tinggalkan komentar