Samsung telah mengacah Galaxy S25 Edge pada penghujung acara Unpacked baru-baru ini yang turut memperkenalkan siri Galaxy S25. Tidak banyak maklumat yang didedahkan mengenai peranti tersebut dan kebanyakan khabar angin sebelum ini mendakwa peranti baharu tersebut mungkin akan dikenali sebagai Galaxy S25 Slim.
Baru-baru ini terdapat laporan yang mendakwa telefon pintar baharu berkenaan akan mempunyai permukaan belakang yang akan diperbuat daripada seramik.
Menurut SamMobile, bahan seramik ini dijangkan akan dapat meningkatkan daya ketahanan Samsung Galaxy S25 Edge. Laporan tersebut bagaimanapun memaklumkan setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada permukaan belakang tersebut sepenuhnya daripada seramik, atau sejenis kaca sebatian seramik. Ia bertujuan bagi mengurangkan berat telefon pintar tersebut dengan mengekalkan kerangkanya diperbuat daripada aluminium.
Laporan yang sama juga menyertakan lembaran spesifikasi Galaxy S25 Edge yang dilihat datangnya daripada sumber rasmi seperti pangkalan data China Quality Certification. Di dalamnya ada menyatakan telefon pintar ini akan mempunyai bateri berkapasiti 3,900mAh yang menyokong pengecasan 25W.
Lain-lain ciri yang dijangka akan ditawarkan termasuklah skrin 6.7-inci seperti S25 Plus, pemprosesan Snapdragon 8 Elite, kamera utama 200MP dan kamera bersudut lebar 12MP serta kamera hadapan 12MP.
Sebelum ini terdapat dakwaan yang menyebut Galaxy S25 Edge akan dilancarkan pada Mei tahun ini. Namun, apabila diajukan semula persoalan tersebut oleh 9to5Google kepada wakil Samsung, ia akan hadir sekitar April ini.