Samsung Galaxy S23 dijangka akan hadir ke pasaran awal tahun depan dan salah satu daripada modelnya telah melepasi persijilan 3C di China. Model berkenaan bernombor SM-S9180 dan menunjukkan ia merupakan yang tertinggi di kalangan model lain, Galaxy S23 Ultra. Di dalam persijilan tersebut, peranti berkenaan dinyatakan menyokong pengecasan maksima 25W (11V pada 2.25A).

Ini lebih rendah berbanding sokongan pengecasan Galaxy S22 Ultra yang menawarkan sokongan sehingga 45W. Pun begitu, pengecasan 45W pada Galaxy S22 Ultra tidak memberikan kesan yang ketara jika dibandingkan dengan mengecaskannya pada 25W.

Untuk itu Samsung mungkin telah menemukan cara untuk menjadikan masa pengecasan 25W lebih pantas disamping menambahbaik kitaran pengecasan bateri peranti berkenaan. Satu lagi sebab, mungkin pengecasan 25W tersebut hanya terhad bagi varian di China sahaja dan tidak pasti jika pasaran lain kelak menawarkan sokongan hingga 45W.

Samsung Galaxy S23 Ultra dikatakan akan mempunyai rekaan dan ukuran yang sama dengan S22 Ultra. Namun, perubahannya dijangka melibatkan pada penggunaan kamera baharu 200MP. Selain itu, ia dikatakan akan menggunakan Snapdragon 8 Gen 2 sebagaimana pada model-model lain di dalam siri ini. Pun begitu, terdapat kemungkinan sesetengah unit mungkin akan dilengkapkan dengan cipset Samsung Exynos.

Tinggalkan komentar