Hujung tahun 2021 lalu, Samsung telah memperkenalkan sensor kamera 200MP untuk telefon pintar buat pertama kalinya. Sensor berkenaan setakat ini masih lagi belum hadir pada mana-mana telefon pintar, namun ia dijangka akan hadir tidak lama lagi menurut laporan portal dari Korea Selatan, ETNews.

Versi terkini sensor 200MP berkenaan sudah hampir disiapkan dan dilaporkan akan hadir pada telefon pintar mercu yang akan datang. Berkemungkinan besar ia akan digunakan pada Samsung Galaxy S23 Ultra pada tahun 2023 nanti.

Bahagian Komunikasi Elektronik Mudah Alih dan Elektro-Mekanik Samsung juga dilaporkan hampir menyelesaikan kemaskini versi Samsung ISOCELL HP1 dan kelak akan dikenali sebagai ISOCELL HP3. Bagaimanapun, tidak diketahui apakah penambahbaikan yang akan dibawa oleh ISOCELL HP3 selain dari keupayaan sehingga 200MP.

Pada tahun 2020, Samsung telah memperkenalkan sensor kamera 108MP pada Galaxy S20 Ultra. Sensor yang sama juga digunakan pada Galaxy S21 Ultra pada tahun berikutnya, dan juga pada Galaxy S22 Ultra pada tahun ini. Buat masa ini, Samsung merupakan peneraju di dalam perlumbaan megapiksel sensor kamera mudah alih.

Pun begitu, masih terlalu awal untuk menjangkakan kehadiran sensor 200MP ini pada Samsung Galaxy S23 Ultra pada tahun hadapan. Jika desas-desus mengenai sensor ini dapat direalisasikan, kemungkinan kita bakal melihat satu pembaharuan pada perkakasan telefon pintar mercu tahun hadapan.

Tinggalkan komentar