Siri Samsung Galaxy S23 dijangka tidak akan menggunakan kamera telefoto baharu, berdasarkan laporan terkini yang diterima. Model baharu berkenaan kelak dijangka akan menggunakan kamera telefoto 10MP yang sama seperti yang digunakan pada siri Galaxy S22.

Menurut GalaxyClub, portal web berpangkalan di Belanda, Samsung mungkin merancang untuk kekal menggunakan modul telefoto yang sama pada Galaxy S23. Portal berkenaan juga tidak menolak Samsung mungkin akan menggunakan telefoto berkenaan pada model S23 dan S23+.

Menariknya, laporan berkenaan juga menyebut model mercu di dalam siri berkenaan, Galaxy S23 Ultra akan menjadi model pertama yang akan menempatkan sensor 200MP ISOCELL HP3 yang diumumkan pada minggu lepas.

Dalam pada masa yang sama, pentiris tegar Ice Universe baru-baru ini turut membincangkan mengenai desas-desus ini. Beliau dilihat yakin Galaxy S23 Ultra mungkin bukan menjadi peranti pertama yang menggunakan sensor HP3 tersebut.

Berbalik kepada lensa telefoto tadi, sensor yang terdapat pada Galaxy S22 dan S22+ merupakan naik taraf dari model sebelumnya. Oleh itu, tidak menghairankan jika Samsung memilih untuk mengekalkannya pada Galaxy S23 kelak.

Pun begitu, kamera hadapan untuk S23 dan S23 Plus nanti dikhabarkan akan menerima naik taraf kepada 12MP bagi meningkatkan kualiti imej. Untuk Galaxy S23 Ultra pula setakat ini masih lagi belum diketahui mengenai kamera hadapan yang akan digunakannya kelak.

Lain dari itu, tiada sebarang maklumat mengenai bilakah ia akan dilancarkan. Berdasrkan apa yang biasa dilakukan oleh Samsung ketika melancarkan telefon pintar mercunya seperti Galaxy S20, Galaxy S21 dan Galaxy S22, kemungkinan besar Samsung Galaxy S23 akan dilancarkan sekitar suku pertama tahun 2023.

1 komen

Tinggalkan komentar