Telefon pintar mercu generasi berikut Samsung, Galaxy S10 dijangka bakal dipasarkan dengan sokongan piawaian terbaru WiFi 6. Maklumat berkenaan piawaian nirwayar yang turut dirujuk sebagai 802.11ax WiFi telah ditemukan di dalam pemfailan FCC yang dibuat oleh Samsung.
Pemfailan FCC merupakan satu keperluan yang diwajibkan kepada mana-mana syarikat yang ingin memasarkan peranti di dalam pasaran Amerika Syarikat. Berdasarkan fail yang disertakan, Samsung memperincikan perbezaan sambungan setiap model-model telefon pintar mercunya yang akan dipasarkan kelak. Termasuklah – Galaxy S10+ (SM-G975U), Galaxy S10 (SM-G973U), dan Galaxy S10e (SM-G970U).
Dijangkakan, Galaxy 10e adalah model paling bajet dikalangan ketiga-tiga telefon pintar Samsung berkenaan dan akan dilengkapi dengan hanya tetapan dwi-kamera sahaja berbanding tetapan tri-kamera untuk dua model yang lain.
Piawaian WiFi 6 merupakan kesinambungan dari teknologi piawaian WiFi 5 (802.11ac) yang digunakan pada masa ini. Dari segi kelajuan, WiFi 6 secara teorinya mampu menyokong kelajuan data sehingga 1.1Gbps melalui spektrum 2.4GHz dan sehingga 4.8Gbps melalui spektrum 5GHz.
Selain dari piawaian WiFi, laporan yang sama turut menyebut telefon pintar mercu Samsung berkenaan menyokong pengecasan dua-hala nirwayar. Seterusnya, membolehkan Galaxy S10 mengecas peranti-peranti lain yang dilengkapi dengan fungsi pengecasan nirwayar Qi.
Telefon pintar Samsung Galaxy S10 dijangka bakal diumumkan sewaktu acara Samsung Unpacked yang dijadualkan berlangsung pada 20 Februari 2019 di San Francisco.
Sumber berita diperoleh dari The Verge













