Samsung baru-baru ini telah mengumumkan laptop keluaran terbarunya di dalam acara MWC 2022. Empat buah model laptop Samsung telah diperkenalkan yang kesemuanya mempunyai paparan AMOLED 1080p dan pemprosesan Intel Generasi Ke-12.
Samsung Galaxy Book2 Pro dan Galaxy Book2 Pro 360 masing-masing hadir dalam dua saiz iaitu 13.3-inci dan 15.6-inci.
Beza antara keduanya adalah 360 mempunyai engsel yang boleh dilipat sepenuhnya untuk dijadikan seperti sebuah tablet. Paparan bagi kesemua model laptop ini ditawarkan dalam bentuk nisbah aspek 16:9.
Samsung Galaxy Book2 Pro 360
Untuk model 13.3-inci Samsung Galaxy Book2 Pro 360, laptop ini cuma seberat 1.04 kg sahaja. Manakala varian paling beratnya yang berukuran 15.6-inci pula hanya seberat 1.41 kg, yang mana boleh dikira agak ringan apabila kita mengambil kira saiz paparannya.
Kedua-dua varian mengikut saiz skrin ini juga mempunyai paparan AMOLED beresolusi 1920 x 1080 piksel. Menurut Samsung, ia mempunyai kecerahan 400 nits bagi tontonan biasa. Jika digunakan untuk tontonan kandungan HDR pula, kecerahannya boleh dinaikkan kepada 500 nits.
Turut disediakan sokongan S Pen untuk laptop ini, namun tiada sokongan Bluetooth disediakan. Samsung juga telah mengurangkan kadar kependaman S Pen pada Galaxy Book2 Pro bagi meningkatkan kecekapan ketika menulis atau melukis melaluinya.
Aplikasi Samsung Notes juga menerima penambahbaikan dari segi pengecaman tulisan tangan, sokongan hyperlink, dan boleh menyegerakkan nota antara laptop ke peranti-peranti Galaxy lain yang menggunakan Android.
Galaxy Book2 Pro 360 menyediakan pilihan pemprosesan sama ada Intel Core i7 atau i5 Generasi Ke-12 dengan grafik Intel Iris X. Turut ditawarkan pilihan RAM LPDDR5 yang bermula dari 8GB, 16GB dan sehingga 32GB. Manakala pilihan storannya pula ditawarkan dari SSD 256GB, 512GB dan 1TB SSD
Bagi Galaxy Book 2 Pro 360 13.3-inci, ia mempunyai bateri berkapasiti 63Wj. Manakala bagi varian 15.6-inci pula ia mempunyai bateri berkapasiti 68Wj.
Kedua-dua varian ini mempunyai 1 port Thunderbolt 4 dan 2 port USB-C, serta satu bicu kombo fon kepala/mikrofon, dan satu port mikroSD. Laptop ini boleh dicaskan menerusi port USB-C yang turut menyokong pengecasan sehingga 65W. Samsung menjanjikan penggunaan bateri Galaxy Book2 Pro 360 mampu bertahan selama 21 jam.
Galaxy Book2 Pro
Tidak banyak perbezaan di antara model Galaxy Book2 Pro dengan Galaxy Book2 Pro 360 melainkan engsel yang boleh dilipat ke 360 darjah seperti yang dinyatakan tadi.
Selain dari mod penggunaannya, sedikit perbezaan pada Galaxy Book2 Pro adalah pada bilangan port yang disediakannya dan juga jenis storan. Model ini menggunakan storan jenis NVMe SSD dengan kapasiti yang ditawarkannya sehingga 1TB.
Untuk Galaxy Book2 Pro bersaiz 13.3-inci, ia menawarkan 1 port Thunderbolt 4, 1 USB-C, 1 port USB 3.2 bersaiz penuh, bicu kombo 3.5mm, dan satu slot mikroSD. Manakala varian bersaiz 15.6-inci pula ia membawakan 1 port HDMI bersaiz penuh dan juga 1 slot kad SIM bagi menyokong ketersambungan rangkaian 5G.
Galaxy Book2 Pro didatangkan dengan dua pilihan warna sahaja iaitu Silver dan Graphite. Laptop-laptop keluaran Samsung terbaru ini akan menemui pengguna sekitar April ini dengan harga dariĀ $1,050 (~RM4,410) bagi pilihan pemprosesan Intel Core i7, RAM 8GB dan storan 256GB.
Samsung Malaysia pada kebiasaannya tidak menawarkan laptop siri Galaxy Book di Malaysia. Tidak dapat dipastikan jika terdapat perubahan pada tahun ini dan kehadiran laptop ini ke pasaran Malaysia pastinya disambut baik oleh peminat-peminat Samsung.













