September lalu, Samsung Galaxy A73 dikatakan akan menampilkan sensor 108MP sebagai kamera utamanya. Sungguhpun Samsung belum lagi mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya, imej pengolokan telefon pintar tersebut telah pun muncul di internet.
Samsung Galaxy A73 5G kelihatan mirip dengan Galaxy A72, terutamanya pada paparan berpenebuk lubang pada sebelah hadapannya. Serta empat kamera dan satu lampu flash LED yang ditempatkan pada bahagian bonggolnya.
Berdasarkan imej pengolokan tersebut juga, telefon ini menempatkan butang suis dan kawalan bunyi pada sisi yang sama seperti kebiasaan peranti Samsung lain.
Di sebelah bawahnya dikatakan akan menempatkan port USB-C bersama-sama mikrofon dan pembesar suaranya, selain turut menyediakan dulang kad SIM. Menerusi imej pengolokan ini, berkemungkinan telefon ini tidak menyediakan bicu audio 3.5mm.
Imej pengolokan 3D Samsung Galaxy A73 5G ini telah dihasilkan oleh Technizo Concept dengan kerjasama LetsGoDigital. Ia direka berdasarkan khabar-khabar angin yang telah disebarkan di internet sehingga kini. Harus diingat, imej pengolokan ini mungkin tidak akan sama dengan model tersebut apabila dilancarkan kelak.













