Galaxy A dikenali sebagai siri yang sering memperkenalkan sebilangan telefon keluaran Samsung yang paling laris. Baru-baru ini, gergasi elektronik dari Korea Selatan ini telah memperkenalkan model telefon pintar mampu milik terbarunya, Samsung Galaxy A13 dan Galaxy A23. Kedua-dua model ini menawarkan sokongan rangkaian sehigga 4G sahaja.

Samsung Galaxy A23

Samsung Galaxy A23 (4G LTE) ini agak berbeza jika dibandingkan dengan Galaxy A22. Perubahan ketara yang dibawakan olehnya adalah pada skrinnya yang kini menawarkan skrin LCD 6.6-inci beresolusi 1080 x 2408 piksel 60Hz dengan perlindungan Gorilla Glass 5. Ia dilihat lebih mirip dengan Galaxy A13 baharu berbandng modelnya yang terdahulu.

Perubahan ini turut melibatkan pada penawaran kameranya. Kamera utamanya mempunyai sensor 50MP berapertur f/1.8, menggantikan sensor 48MP pada model sebelumnya. Kamera ultra lebar juga kini digantikan dengan 5MP dari 8MP sebelumnya. Dua kamera lagi, 2MP untuk makro dan kedalaman masih lagi kekal sama. Kamera hadapannya juga mengalami perubahan dari 13MP sebelum ini, kepada 8MP.

Samsung bagaimanapun tidak menyatakan cipset yang digunakan pada Galaxy A23 4G LTE ini. Namun, memaklumkan telefon ini hadir dengan beberapa pilihan konfigurasi iaitu RAM sama ada 4, 6 atau 8GB dan storan 64GB atau 128GB. Telefon ini juga menggunakan antaramuka OneUI 4.1 yang berasaskan Android 12.

Kapasiti baterinya pula masih lagi kekal sama seperti keluaran tahun lepas iaitu 5,000mAh. Cuma untuk keluaran kali ini, model ini memperlihatkan penambahbaikan pada kelajuan mengecasnya kepada 25W, berbanding 15W sahaja sebelum ini.

Samsung Galaxy A13 4G LTE

Sebelum ini Samsung Galaxy A13 5G telah dilancarkan pada Disember tahun lepas dan kini tiba pula giliran versi 4G model telefon ini. Terdapat beberapa perbezaan antara kedua-duanya, namun seperti dinyatakan tadi, persamaan Galaxy A13 adalah lebih mirip dengan Galaxy A23.

Samsung Galaxy A13 4G LTE menggunakan One UI 4.1 yang berasaskan Android 12. Ia menggunakan cipset Exynos 850 (8x A55 @ 2.0 GHz, Mali-G52 MP1) dengan pilihan RAM 3, 4 atau 6GB, serta storan 64GB atau 128GB dan slot kad mikroSD. Telefon yang diperbuat daripada bahan plastik pada badannya ini mempunyai ukuran 165.1 x 76.4 x 8.8 mm dengan seberat 195g.

Pra-tempahan bagi Samsung Galaxy A13 4G LTE ini telah pun mula dibuka di Belanda dengan harga jualannya bermula dari €190 (˜RM867) bagi konfigurasi 4/64GB. Bagi Samsung Galaxy A23 4G LTE pula bagaimanapun masih lagi belum diketahui setakat ini.

 

Tinggalkan komentar