Samsung Electronics telah berdepan tindakan saman pada Jumaat lalu oleh seorang dari Florida, Amerika Syarikat berikutan melecur akibat telefon pintar Samsung Galaxy Note 7 milik beliau secara tiba-tiba meletup di dalam poket seluarnya.

Tindakan saman oleh lelaki yang bernama Jonathan Strobel ini merupakan yang pertama seumpamanya dilakukan di Amerika Syarikat sejak masalah bateri pada peranti berkenaan mula dilaporkan. Saman tersebut difailkan sehari selepas pihak Samsung mengumumkan penarikan kembali Samsung Galaxy Note 7 telah telah terjual lebih dari 1 juta unit di Amerika Syarikat.

Samsung telah menerima sejumlah 92 laporan yang melibatkan masalah bateri lampau panas di Amerika Syarikat termasuk masalah yang menyebabkan 26 kes kelecuran pada pengguna dan 55 lagi melibatkan kerosakan harta benda.

Ketika kejadian, Jonathan Strobel, 28, sedang membeli belah pada 9 September lalu. Insiden berkenaan menyebabkan telefon pintar milik beliau terbakar di dalam seluar hingga menyebabkan kaki kanan beliau melecur teruk. Selain itu, ibu jari tangan kiri beliau turut sama melecur.

Pemfailan saman berkenaan turut merangkumi kos bayaran perubatan pada amaun yang masih lagi belum didedahkan.

-Sumber berita diperoleh dari The Verge, Imej dari Kim Hong-Ji, Reuters

Tinggalkan komentar