Berdasarkan satu tweet yang diterbitkan oleh Ice Universe, Samsung dikatakan sedang mempersiapkan telefon pintar terbaru yang tampil dengan kamera empat lensa pada tahun ini juga. Menurut Ice Universe, telefon pintar ini tidak diletakkan di bawah jenama Note, S atau F (foldable, boleh lipat).
Tidak banyak maklumat yang dikongsikan oleh Ice Universe melainkan dari penggunaan empat lensa pada kamera utama peranti yang diperkatakan tersebut.
Samsung
Camera Camera Camera Camera— Ice universe (@UniverseIce) September 2, 2018
Sungguhpun sebelum ini terdapat banyak pengeluar yang mempromosikan telefon-telefon pintar mereka memiliki empat kamera, pada kebiasaannya ia merujuk pada dua lensa kamera utama dan dua lagi lensa pada kamera hadapannya.
Terdapat juga kemungkinan telefon pintar dengan empat lensa kamera utama ini hadir di bawah jenama A Samsung. Menurut CEO Bahagian Peranti Mudah Alih Samsung, DJ Koh, syarikat beliau kini dalam perancangan untuk membina lebih banyak telefon pintar peringkat pertengahan sebagai salah satu usaha menarik minat golongan muda.
Dalam satu temubual, beliau menyatakan strategi pemasaran telefon pintar di bawah A-Series akan disesuaikan bagi tujuan mencapai sasaran tersebut.
Sumber berita diperoleh dari CNBC