Samsung Display telah mewujudkan sebuah laman web khusus mempromosikan teknologi paparan Flex OLED. Menerusinya, anda dihidangkan dengan beberapa contoh penggunaan teknologi panel boleh lentur tersebut merangkumi peranti boleh lipat dan sebagainya.

Setiap contoh penggunaan dibahagikan kepada lima sub-kategori berbeza iaitu:

  • Flex Bar
  • Flex Square
  • Flex Note
  • Rollable Flex
  • Slidable Flex

Bagi sub-kategori Flex Bar dan Flex Square, kedua-duanya telah pun hadir menemui pengguna umum melalui Galaxy Z Flip dan Galaxy Z Fold. Untuk tiga lagi sub-kategori yang dinyatakan di atas buat masa ini masih lagi belum diumumkan secara rasmi kepada khalayak.

Menerusi laman web berkenaan juga turut memberikan contoh penggunaan paparan Flex Note pada sebuah laptop yang hadir dengan paparan boleh lipat.

Manakala Rollable Flex pula menunjukkan sebuah TV yang boleh digulungkan seperti sebuah layar putih untuk projektor. Akhir sekali, Slidable Flex mengacah sebuah peranti mudah alih yang seakan-akan telefon pintar yang boleh digulungkan.

Tidak dapat dipastikan sama ada Samsung Display merancang untuk memperkenalkan produk baharu berdasarkan bentuk-bentuk paparan yang dinyatakan tadi.

Berkemungkinan ia hanya sekadar contoh penggunaan berdasarkan keupayaan teknologi Flex OLED untuk kliennya. Antara klien yang dimaksudkan termasuklah Apple dan OPPO.

Ini bukanlah kali pertama konsep produk yang menampilkan teknologi paparan Flex OLED ini diacahkan. Sebelum ini, Samsung Display pernah mengacah konsep tablet boleh gulung dan juga telefon pintar dengan paparan tiga lipatan.

Tinggalkan komentar