Google sebelum ini telah dilaporkan sedang membangunkan dongle Android TV baharu. Ianya tidak sekadar menjadi pewaris kepada Chromecast Ultra, malah turut didatangkan bersama-sama alat kawalan jauhnya sendiri.
Menurut XDA, pihaknya telah menerima imej pengolokan peranti berkenaan dan ianya diberikan nama kod sebagai Sabrina.
Dari apa yang dilihat, dongle Google Android TV yang diberikan nama Sabrina ini berbentuk bujur melonjong. Bentuk ini berbeza dengan Chromecast Ultra yang berbentuk bulat. Malahan, Sabrina juga turut didatangkan dengan pilihan warna merah jambu, berbeza dengan pilihan warna Chromecast Ultra yang menawarkan pilihan warna hitam atau putih sahaja.
Untuk alat kawalan jauhnya, dari apa yang dapat dilihat ianya mempunyai butang khusus Google Assistant. Kemungkinan besarnya ianya turut menyediakan butang khusus platform penstriman video seperti Netflix.
Imej pengolokan ini didapati dari binaan firmware pra-terbitan untuk peranti ini. Ia turut didatangkan bersama-sama video pemasaran yang memberikan sedikit gambaran mengenai peranti ini.
Setakat ini masih lagi belum diketahui bilakah ianya akan dilancarkan apabila mengambil kira penundaan beberapa acara Google seperti Google I/O dan Android 11. Mengikut firasat yang paling sahih, ianya dijangka akan diumumkan bersama-sama pengumuman Pixel 4a yang dijadualkan berlangsung pada 13 Julai ini.












