Selain ujian pelanggaran yang tular baru-baru ini, kebanyakan pengguna mendapati ciri Crash Detection pada Apple iPhone 14 dan Apple Watches generasi sekarang mampu berfungsi dengan baik. Cuma, kadangkala ia dilihat ‘terlalu mengambil berat’ keadaan penggunanya dalam sesuatu keadaan.
Menurut laporan Wall Street Journal (WSJ), ciri ini didapati diaktifkan secara tidak sengaja lebih dari sekali melibatkan enam kejadian berasingan. Salah satunya termasuk seorang pengguna iPhone 14 yang menaiki ‘roller coaster’ di taman tema Kings Island di Cincinnati, Amerika Syarikat.
Memandangkan pengguna berkenaan mungkin menyimpan iPhone 14 berkenaan di dalam poket atau di dalam beg, pengaktifan ciri Crash Detection tersebut tidak disedari dan tidak membatalkan pengaktifannya.
Kesannya, iPhone 14 milik pengguna terbabit membuatkan panggilan atau mesej ke nombor kenalan ketika kecemasan dan khidmat bantuan cemas.
Pihak berkuasa yang memberi respon kecemasan tersebut menyatakan telah menerima satu mesej yang dihantar secara automatik dari iPhone 14 yang memaklumkan:
“The owner of this iPhone was in a severe car crash and is not responding to their phone,”
Mesej tersebut kemudian disusuli oleh rakaman yang dikatakan insiden tersebut dengan suara jeritan keriangan, muzik dan bunyi-bunyian lain yang biasa didengari di taman tema.
Selain mesej kepada pihak berkuasa, kenalan rapat pengguna berkenaan juga menerima mesej tersebut dan mula membuat panggilan kerana bimbangkan sesuatu yang buruk mungkin terjadi.
Pemilik iPhone 14 terbabit, Sara White terkejut apabila dihujani sejumlah panggilan tidak berjawab dan peti simpanan suara selepas selesai bermain ‘roller coaster’. Beliau seterusnya memberikan maklumbalas terhadap kesemua nombor-nombor tersebut untuk memaklumkan situasi sebenar.
Secara keseluruhannya, ciri Crash Detection ini mampu berfungsi dengan baik sungguhpun ia tidak dapat membezakan antara aktiviti-aktiviti seperti ‘roller coaster’ dengan pelanggaran sebenar buat masa ini. Pengguna yang ingin menyertai aktiviti-aktiviti menyeronokkan sebegini mungkin perlu mematikan ciri Crash Detection ini terlebih dahulu bagi mengelakkan panggilan kecemasan dibuat tanpa sengaja.













