Tujuh bulan selepas pelancaran Redmi Y2, kini tiba giliran ‘pewarisnya’ untuk dilancarkan. Bayangan kehadiran Redmi Y3 telah dinyatakan oleh Xiaomi India melalui satu cicipan di Twitter, “y just selfies, y not 32 MP super selfies”.

Telefon pintar dengan kamera swafoto 32MP bakal dilancarkan pada minggu depan, 24 April 2019.

Berdasarkan imej iklan acah yang diterbitkan, telefon pintar berkenaan akan hadir dengan paparan bertakuk berbentuk titisan air. Selain itu, model telefon pintar ini juga bukanlah model yang dijenamakan semula seperti Redmi Y2 dahulu yang dijenamakan semula dari Redmi S2.

Jika dilancarkan nanti, Redmi Y3 bakal menjadi telefon pintar keluaran Xiaomi yang memiliki kamera swafoto paling tinggi resolusinya. Setakat ini, kamera swafoto telefon pintar keluaran Xiaomi yang paling tinggi resolusinya Mi Mix 3 dengan 24MP.

Lain-lain spesifikasi masih lagi belum diketahui dan dijangkakan lebih banyak maklumat akan tertiris menjelang hari pelancarannya.

Sumber berita diperoleh dari Twitter Xiaomi India

Tinggalkan komentar