Redmi secara rasminya telah mengumumkan teknologi pengecasan pantas 300W baharu yang pertama seumpamanya di dunia hari ini. Mampu mengecaskan telefon pintar sepenuhnya dalam tempoh hanya 5 minit, teknologi ini telah mengatasi pengecasan 240W yang digunakan pada realme GT Neo 5.
Menerusi laman rasminya di Weibo, Redmi memperlihatkan teknologi pengecasan tersebut berfungsi melalui Redmi Note 12 Explorer Edition yang mempunyai bateri berkapasiti 4,100mAh.
Video yang dikongsikan itu juga menunjukkan peranti tersebut boleh dicaskan dalam tempoh kurang dari 5 minit sambil penggunaan tenaganya juga dipaparkan sepanjang tempoh pengujian dilakukan.
Menurut laman MyFixGuide, data rasmi dari syarikat induk Redmi, Xiaomi menyatakan kuasa puncak pengecas tersebut mampu mencecah sehingga 290W. Selain itu, kuasanya di atas 280W mampu mencapai dua minit untuk mengecaskan telefon ke paras kapasiti 50%.
Redmi mendakwa pengecas 300W tersebut boleh mengecaskan ke paras 10 peratus dalam tempoh hanya 43 saat, 50 peratus dalam tempoh 2, dan 100 peratus dalam masa 5 minit. Teknologi ini memanfaatkan senibina pengecasan pantas 300W dengan penyambungan penuh yang dibangunkan sendiri.
Ia melibatkan cip pam pengecas 6:2 tersuai pada senibina pengecas peranti yang asal dengan kecekapan pengubahan maksimum cip tersebut mampu mencecah setinggi 98 peratus.
Buat masa ini, pengecasan 300W tidak disertakan pada mana-mana peranti rasmi keluaran Redmi atau Xiaomi. Dijangkakan ia akan hadir ke telefon pintar kedua-dua jenama berkenaan dalam masa yang terdekat ini.













