Xiaomi Malaysia secara rasminya telah mengumumkan Redmi Note 10S dan Redmi Note 10 5G dengan harga masing-masing ditawarkan pada RM899 dan RM799.
Kedua-dua telefon pintar ini boleh dibeli menerusi wakil jualan Xiaomi yang sah di seluruh negara termasuk di Lazada dan Shopee. Redmi Note 10S mula dijual pada 21 Mei 2021, manakala Redmi Note 10 5G akan dijual bermula 28 Mei 2021.
Bagi anda yang membeli Redmi Note 10 5G pada 28 Mei ini, anda layak untuk menerima baju-T Redmi Note 10 5G dan Mi True Wireless Earbuds Basic 2 secara percuma. Bukan itu sahaja, anda juga akan diberikan waranti perlindungan skrin untuk 6 bulan secara percuma.
Untuk pembelian Redmi Note 10S pada hari pertama jualannya 21 Mei nanti, anda akan menerima Mi True Wireless Earbuds Basic 2 dengan percuma.

Dari segi spesifikasi, Redmi Note 10S dilengkapkan dengan cipset Helio G95 dengan RAM 8GB dan storan dalaman 128GB. Telefon ini juga menyediakan paparan DotDisplay AMOLED 6.43-inci bersama-sama bateri 5,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 33W.
Kamera Redmi Note 10S dilengkapkan dengan konfigurasi kuad-kamera yang mengandungi sensor kamera utama 64MP, 8MP (ultra-lebar), 2MP (makro) dan 2MP (monokrom). Untuk swafoto, sebuah kamera dengan sensor 13MP turut disediakan pada sebelah depannya.
Spesifikasi Redmi Note 10 5G
Manakala spesfikasi untuk Redmi Note 10 5G pula, ianya dilengkapkan dengan cipset Dimensity 700 bersama-sama RAM 8GB, storan dalaman 128GB dan paparan 6.5-inci dengan kadar penyegaran semula 90Hz. Telefon dengan bateri berkapasiti 5,000mAh ini menyokong pengecasan pantas sehingga 18W.
Untuk kameranya, Redmi Note 10 5G menyediakan konfigurasi tri-kamera untuk kamera utamanya iaitu 48MP, 2MP dan 2MP. Di sebelah hadapannya pula disediakan sebuah kamera swafoto dengan sensor 8MP.
Kedua-dua model telefon pintar Redmi terbaru ini juga menyediakan pengimbas cap jari pada sebelah sisinya, bersama-sama fungsi nyahkunci berdasarkan pengecaman wajah A.I. Antaramuka Redmi Note 10S dan Redmi Note 10 5G menggunakan MIUI 12 yang berasaskan Android 11.













