Redmi K60 Ultra secara rasminya telah dilancarkan setelah tertiris maklumat mengenainya sejak beberapa bulan yang lalu. Pengumuman tersebut dibuat menerusi ucapan tahunan CEO Xiaomi, Lei Jun di China baru-baru ini. Turut diumumkan Xiaomi MiX Fold 3 dan sebilangan produk-produk Xiaomi baharu.

Telefon pintar ini merupakan teleon pintar Redmi paling premium setakat ini dan menawarkan beberapa ciri yang pertama kali diperkenalkan pada jenama tersebut.

Rekabentuk luarannya juga berbeza dengan ‘adik-beradiknya’ yang lain seperti Redmi K60 Pro, Redmi K60, dan Redmi K60E selain menawarkan spesifikasi yang juga berbeza.

Spesifikasi Redmi K60 Ultra

Redmi K60 Ultra kelihatan seperti gabungan antara siri Redmi K60 dengan siri Xiaomi 13 dari segi rekaannya. Ia mempunyai paparan rata dan juga bingkai yang rata sungguhpun mempunyai permukaan belakang yang melengkung.

‘Pulau’ kameranya yang besar pada bahagian belakangnya mempunyai cerun pada sisi-sisinya bagi menambahkan keunikan rupanya. Telefon pintar ini turut diberikan penarafan IP68 bagi kerintangan air dan debu, seterusnya menjadi yang pertama di kalangan jenama Redmi yang menerimanya.

Melalui skrin OLED 6.67-inci, Redmi K60 Ultra mempunyai paparan beresolusi 1.5K dan kadar penyegaran semula 144Hz. Skrinnya ini juga mempunyai frekuensi PWM 2,880Hz dan tahap kecerahan puncak 2,600 nits.

Untuk pemprosesannya pula, ia hadir dengan MediaTek Dimensity 9200 Plus bersama-sama RAM LPDDR5x 24GB dan storan UFS 4.0 1TB. Ia juga mempunyai cip paparan PixelWorks X7 dengan perisiannya pula menggunakan Android 13 melalui antaramuka MIUI 14.

Untuk fotografinya dan videografi, Redmi K60 Ultra menggunakan sistem tri-kamera yang terdiri daripada:

  • Sony IMX800 50MP (OIS)
  • Ultra lebar 8MP
  • Makro 2MP

Turut disediakan sebuah kamera hadapan 20MP yang seperti biasa boleh digunakan untuk swafoto dan panggilan video.

Lain-lain ciri yang disediakan padanya termasuklah bateri 5,000mAh, pembesar suara stereo, pengimbas cap jari terbina bawah skrin, sinaran infra merah, motor bergetar berpaksi-X dan juga sokongan pengecasan pantas 120W.

Harga Redmi K60 Ultra

Pelancaran telefon pintar ini turut mengumumkan harganya di pasaran China mengikut spesifikasi yang ditawarkan:

  • 12GB + 256GB – ¥2,599 (~RM1,666)
  • 16GB + 256GB – ¥2,799 (~RM1,782)
  • 16GB + 512GB – ¥2,999 (~RM1,852)
  • 16GB + 1TB – ¥3,299 (~RM2,106)
  • 24GB + 1TB – ¥3,599 (~RM2,292)

Pilihan warna yang ditawarkannya merangkumi warna hijau, hitam dan putih dengan tarikh permulaan jualannya dari 16 Ogos dengan varian tertingginya 24GB+1TB bermula dari 22 Ogos.

Tinggalkan komentar