Xiaomi 12T dan 12T Pro dijangka akan dilancarkan ke pasaran global tidak lama lagi berdasarkan laporan terkini yang mendedahkan storan, pilihan warna dan juga harganya. Kini, maklumat baharu yang tertiris dari pentiris maklumat popular menyatakan Xiaomi 12T Pro akan dilancarkan sebagai Redmi K50 Ultra yang dijenamakan semula.
Kacper Skryzper mendakwa telah menemukan Xiaomi 12T Pro di dalam senarai peranti yang disokong di dalam Google Play. Peranti berkenaan disenaraikan sebagai nombor model 22081212 dengan nama kod “diting”.
Atas sebab itu juga, beliau menyatakan Xiaomi 12T Pro merupakan Redmi K50 Ultra yang dijenamakan semula ke pasaran global. Untuk makluman anda, Redmi K50 Ultra dilancarkan baru-baru ini bersama-sama Xiaomi Mix Fold 2.
#Xiaomi12TPro confirmed to be rebranded #RedmiK50Ultra. We will see whether something will be changed comparing with the CN variant soon… pic.twitter.com/EkyBGUYtSI
— Kacper Skrzypek 🇵🇱 (@kacskrz) August 12, 2022
Telefon pintar berkenaan hadir dengan paparan AMOLED 6.67-inci beresolusi 1.5k dengan kadar penyegaran semula 120Hz dan sokongan Dolby Vision. Ia dikuasakan oleh Snapdragon 8+ Gen 1 dengan RAM LPDDR5 sehingga 12GB dan pilihan storan UFS 3.1 sehingga 512GB.

Redmi K50 Ultra menampilkan tri-kamera yang mengandungi salah satunya kamera utama 108MP, kamera ultra-lebar 8MP dan kamera makro 2MP. Pada sebelah hadapan pula disediakan kamera 20MP untuk kegunaan swafoto dan juga panggilan video. Telefon pintar dari Redmi ini menggunakan bateri berkapasiti 5,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 120W.
Jika dakwaan ini didapati benar, Xiaomi 12T Pro mungkin akan hadir dengan spesikasi yang hampir sama seperti yang dinyatakan. Xiaomi 12T Pro dijangka akan dilancarkan pada Oktober ini bersama-sama Xiaomi 12T.