Redmi disasarkan akan melancarkan telefon pintar mercu keluarannya tidak lama lagi, dan pada masa yang sama turut mendedahkan tarikh pelancarannya. Menurut satu kenyataannya melalui akaun Weibo rasmi Redmi, telefon pintar mercu ini akan dilancarkan pada 28 Mei 2019.
Sub-jenama di bawah Xiaomi ini turut mendedahkan dua lagi perincian telefon pintar berkenaan melalui Weibo iaitu penderia kamera 48MP IMX586 buatan Sony dan kamera swafoto terpacul-naik (pop-up).
Kamera 48MP ini membolehkan pengguna mengambil foto beresolusi penuh di siang hari, Manakala penggunaan teknologi piksel-binning pula membolehkan foto dalam keadaan kurang pencahayaan dapat dicerahkan, namun dengan dikurangkan resolusinya kepada 12MP. Jika kamera yang digunakan ini adalah sama seperti Redmi Note 7 Pro dan Xiaomi Mi 9, ini merupakan satu kelebihan buat telefon pintar ini.
Sementara itu, pengenalan ciri kamera swafoto terpacul-naik (pop-up) membolehkan telefon pintar ini menyediakan paparan skrin penuh tanpa takuk, potongan punch-hole, atau kerangka bergelangsar (slide).
Selain kamera swafoto terpacul-naik (pop-up) dan kamera utama 48MP, Redmi K20 turut disahkan bakal menggunakan cipset Snapdragon 855. Lain-lain spesifikasi masih lagi belum diumumkan setakat ini.
Sumber berita diperoleh dari akaun Weibo rasmi Redmi













