Xiaomi secara rasminya merancang untuk memperkenalkan Redmi A2+ ke pasaran Malaysia pada bulan hadapan. Telefon pintar ini pada awalnya telah disenaraikan di pangkalan data SIRIM hujung Februari lalu.
Redmi A2+ merupakan telefon pintar peringkat pemula yang menggunakan pemprosesan MediaTek Helio G36 bersama-sama RAM LPDDR4X 3GB. Untuk pasaran Malaysia, varian yang akan diperkenalkan kelak mempunyai konfigurasi storan 64GB. Selain itu, telefon pintar ini juga mempunyai slot kad mikroSD yang menyokong sehingga 1TB.
Telefon pintar dwi-SIM LTE seberat 192 gram ini juga menampilkan skrin HD+ 6.52-inci dengan di sebelah hadapannya turut menempatkan sebuah kamera 5MP f/2.2. Di sebelah belakang, disediakan sebuah kamera 8MP f/2.0 yang turut disokong oleh sensor berkedalaman QVGA. Pada bahagian belakangnya ini juga mempunyai pengimbas cap jari berhampiran dengan modul-modul kameranya.
Bersama-sama sokongan Bluetooth 5.0 dan Wi-Fi 2.4GHz, Xiaomi juga melengkapkan Redmi A2+ dengan bicu audio 3.5mm. Anda juga boleh mengaktifkan fungsi radio FM padanya apabila port bicu audio berkenaan dicucuk dengan fon kepala berwayar.
Melengkapkan spesifikasi umum telefon pintar ini sebuah bateri berkapasiti 5,000mAh turut disediakan bersama-sama sokongan pengecasan 10W melalui port USB mikro di sebelah bawahnya.
Harga Redmi A2+ di Malaysia
Redmi A2+ dipra-pasang dengan Android 13 Go Edition dan akan mula dijual di Malaysia bermula dari 9 Mei ini dengan harga RM399. Anda juga boleh memilih warnanya yang terdiri daripada Black, Light Blue, dan Light Green menerusi platform Shopee rasmi Xiaomi dan wakil-wakil pengedar yang sah di seluruh negara.













