Sebuah laman jualan di Singapura, Courts, telah menyenaraikan telefon Xiaomi yang masih lagi belum diumumkan, Redmi 10. Maklumat yang dikongsikan oleh laman tersebut lengkap dengan spesifkasi dan juga imej pengolokannya.
Berdasarkan maklumat yang ditiriskan tersebut, telefon Redmi 10 ini akan mempunyai paparan FHD+ 6.5-inci dengan kadar penyegaran semula 90Hz. Pada hadapannya juga akan mempunyai kamera swafoto 8MP. Manakala kamera di belakangnya akan hadir dengan kuad kamera iaitu 50MP (utama), 8MP dan dua buah 2MP.
Turut dinyatakan, cipset yang digunakannya adalah MediaTek Helio G88 dengan RAM sehingga 6GB. Telefon Redmi ini juga dikatakan akan menawarkan pilihan storan sehingga 128GB dengan slot kad mikroSD bagi lebih ruangan.
Melalui antaramuka MIUI 12 berasaskan Android 11, telefon ini turut dilengkapkan bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 18W melalui port USB-C. Lain-lain, ketersambungan yang akan disokongnya merangkumi dwi-SIM, Wi-Fi 802.11ac, Bluetooth 5.0, GPS, dan bicu audio 3.5mm.
Berdasarkan imej pengolokan yang dikongsikan, pilihan warna yang akan ditawarkannya kelak adalah Carbon Grey, Pebble White, dan Sea Blue. Harga yang akan ditawarkannya pula bagi pasaran Singapura adalah pada $249 (~RM736). Dijangkakan, telefon Redmi baharu ini akan memasuki ke pasaran Malaysia dalam masa terdekat ini berdasarkan perkembangan terkininya yang telah melepasi pengesahan Sirim Malaysia.













