Nubia akan melancarkan telefon pintar gaming terbarunya, RedMagic 11 Pro, pada 17 Oktober jam 2:30 petang waktu tempatan di China. Peranti ini dijangka menjadi telefon pintar gaming pertama yang menampilkan sistem penyejukan cecair sepenuhnya.

Menerusi siaran di platform Weibo, syarikat itu mempamerkan imej acah yang menunjukkan peranti dibaluti tiub biru bercahaya dengan tanda pagar #RedMagic11ProWaterCooledMobile. Tiga varian warna akan ditawarkan iaitu hitam, putih, dan edisi lutsinar yang mendedahkan tiub penyejukan secara jelas pada panel belakang.

RedMagic, sub-jenama Nubia, sebelum ini terkenal dengan pengurusan haba menggunakan teknologi kebuk wap (vapor chamber). Pengenalan sistem penyejukan cecair dilihat sebagai lonjakan teknologi baharu dalam industri telefon pintar gaming.

Dari segi spesifikasi, RedMagic 11 Pro dijangka dikuasakan cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5. Jenama ini dikenali sebagai antara yang terawal mengguna pakai cip terkini Qualcomm untuk pasaran gamer dan pengguna ‘hardcore’.

Tinggalkan komentar