realme telah mengumumkan akan melancarkan telefon pintar pemula realme Note 70 tidak lama lagi. Berkesinambungan daripada realme Note 60 yang dilancarkan pada hujung tahun lepas, model kali ini dilancarkan lebih awal pada 28 Ogos ini.
Tidak banyak maklumat yang diketahui berdasarkan iklan acahnya. Antara yang diketengahkan, telefon pintar menawarkan sesuatu yang lebih dari sekadar sebuah peranti peringkat pemula.
Helaian spesifikasinya juga menunjukkan realme Note 70 mempunyai bateri berkapasiti 6,300mAh dengan ketebalan badannya 7.94mm, yang menurut realme “paling nipis di dalam kelasnya”.
realme juga mengetengahkan telefon pintar sebagai memiliki “Ketahanan Hentakan Bergred Ketenteraan”. Selain itu, ia juga mempunyai kerintangan debu dan air IP54 bersama-sama teknologi SonicWave Ejection yang menguatkan lagi ketahanannya terhadap air.
Lebih banyak maklumat mengenai realme Note 70 akan diumumkan sebaik sahaja pelancaran rasminya pada 28 Ogos 2025.













