realme GT3 kini telah tiba di Malaysia selepas diperkenalkan kira-kira 10 bulan yang lalu ketika acara MWC 2023 pada Mac tahun ini. Berharga RM2,799, telefon pintar mercu berkuasakan pemprosesan Snapdragon dan sokongan pengecasan pantas 240W.

Telefon pintar ini hadir dengan paparan skrin rata AMOLED 6.74-inci beresolusi 1240 x 2722 piksel, dan kadar penyegaran semula 144Hz. Ia juga mempunyai output warna 1 billion, kecerahan puncak 1,400 nits serta sokongan HDR10+.

Selain itu, ia juga mempunyai pengimbas cap jari terbina bawah paparan, pembesar suara stereo, pencahayaan “Pulse Interface System” pada bahagian belakangnya untuk menunjukkan penerimaan notifikasi.

Di dalamnya, telefon pintar yang menggunakan pemprosesan Snapdragon 8+ Gen 1 ini juga mempunyai RAM 16GB dan storan dalaman 1TB. Turut disediakan ruangan kebuk pengewapan seluas 6,580mm² bagi menguruskan pelepasan haba dalamannya. Telefon pintar mercu baharu keluaran realme ini juga mempunyai sokongan NFC dwi-sisi, Wi-Fi dan Bluetooth 5.3 dan juga bateri berkapasiti 4,600mAh yang boleh dicaskan melalui port USB-C.

Untuk fotografi dan video, realme GT3 hadir dengan tri-kamera pada bahagian belakangnya yang terdiri daripada kamera utama 50MP dengan OSI, kamera ultra-lebar 8MP dan kamera mikroskop 2MP. Pada sebelah hadapannya pula disediakan sebuah kamera 16MP.

realme GT3 dijual pada harga RM2,799 dan boleh didapati menerusi kedai dalam talian rasminya di Shopee dan Lazada. Telefon pintar yang hadir dengan pilihan warna Pulse White and Racing Purple ini juga boleh didapati di kedai-kedai fizikal menerusi wakil pengedar yang sah di seluruh negara.

Tinggalkan komentar