realme telah melancarkan telefon pintar mercu baharunya GT Neo5 di China. Telefon pintar dengan rekaan unik yang bercahaya pada gegelung berseginya ini hadir dalam dua varian ini dibezakan pada keupayaan pengecasnya yang salah satunya mampu mencecah 240W.
realme GT Neo5 menampilkan skrin AMOLED 6.74-inci beresolusi 2772×1240 dengan kadar penyegaran semula 144Hz dan kecerahan maksima 1,400 nits.
Pada permukaan belakang di sebelah modul kameranya terdapat satu tetingkap lutsinar yang membolehkan anda mengintai komponen dalamannya. Turut disediakan ruangan petak cahaya LED RGB yang juga boleh bertindak sebagai lampu pemberitahuan notifikasi.
Menguasakan telefon pintar ini adalah pemprosesan mercu keluaran tahun lepas dari Qualcomm, Snapdragon 8 Plus Gen 1. Versi pengecasan 240W mempunyai RAM 16GB dan juga menawarkan storan 256GB atau 1TB. Manakala versi pengecasan 150W pula hanya mempunyai pilihan storan 256GB dan menawarkan pilihan RAM antara 8GB dengan 16GB.
GT Neo5 menampilkan tri-kamera dengan sensor 50MP bertindak sebagai kamera utamanya. Bersama-sama dengannya diapit dengan kamera ultra-lebar 8MP dan lensa makro 2MP dengan satu kamera 16MP pada sebelah hadapannya. Untuk ketersambungan, telefon pintar ini dilengkapkan dengan Bluetooth 5.3, NFC, 5G dan juga infra merah.
Tumpuan utama pastinya pada keupayaan pengecasan sehingga 240W yang menurut realme mampu mengecas dari 0% hinga 100% dalam tempoh hanya 10 minit. Malah, pengecasan selama 30 saat sahaja sudah memadai untuk menampung kegunaan panggilan telefon selama 2 jam. Model 240W menggunakan bateri 4,600mAh dengan versi 150W pula menggunakan bateri berkapasiti 5,000mAh.
realme GT Neo5 berharga dari CNY2,499 (~RM1,590) untuk varian 150W dan CNY3,199 (~RM2,035) untuk model 240W. Tiada sebarang pemakluman mengenai tarikh pelancarannya ke pasaran global.
Setakat ini, akaun rasmi realme di Twitter telah menunjukkan iklan acah yang menunjukkan realme GT3 akan datang tidak lama lagi. Menerusinya, wakil syarikat telah memberikan respon dari pertanyaan yang diajukan oleh Amanz yang mengesahkan GT Neo5 akan dipasarkan di Malaysia sebagai GT3.













