realme Malaysia akan melancarkan sebuah lagi telefon pintar baharunya, realme GT Master Edition dalam minggu ini. Sama seperti telefon realme Master sebelum ini, model ini menampilkan rekaan hasil pereka bentuk industri popular Jepun, Naoto Fukasawa. Beliau sebelum ini masyhur dengan rekaan produk dari jenama seperti Herman Miller, MUJI, Lamy dan sebagainya.
Rekaan realme GT Master Edition ini diilhamkan dari aktiviti kembara yang membawakan reka bentuk seakan-akan beg pakaian pada telefon tersebut. Melalui warna Voyager Grey, telefon ini diberikan kemasan kulit berasaskan tumbuhan bersama-sama tandatangan oleh Naoto sendiri.
Bagaimanapun, telefon realme ini akan turut didatangkan bersama-sama pilihan rekaan dan warna lain dengan permukaan berkaca pada belakangnya.
Untuk spesifikasinya, realme GT Master Edition dilengkapkan dengan paparan Super AMOLED 6.43-inci Full HD+ dari Samsung. Paparan ini juga menyokong kadar penyegaran semula 120Hz.
Dikuasakan oleh Qualcomm Snapdragon 778G, varian Malaysia ini juga akan hadir dengan RAM 8GB dan storan 128GB. Untuk fotografinya pula, telefon realme ini menyediakan tri kamera yang terdiri dari sensor utama 64MP, sensor ultra-lebar 8MP dan sensor makro 2MP.
Turut disediakan sebuah kamera swafoto 32MP yang ditempatkan pada penjuru atas sebelah kiri paparannya. Melengkapkan spesfikasi umum realme GT Master Edition, sebuah bateri berkapasiti 4,300mAh turut disediakan.
Bateri ini menyokong pengecasan pantas 65W melalui pengecas SuperDart Charge yang disediakan bersama-sama pembeliannya. Telefon ini mampu dicaskan sepenuhnya dalam tempoh 33 minit.













