realme telah melancarkan model terbaru di dalam siri realme 9 melalui realme 9 SE 5G. Singkatan “SE” bagi model berkenaan membawa maksud sebagai “speed edition (edisi kelajuan)”.

Atas sebab itu, kamera bagi model ini diturunkan spesifikasinya, namun bagi sebahagian spesifikasi lain telah memperlihatkan naik taraf berbanding model 9 Pro dan 9 Pro+. Kepantasan yang dimaksudkan adalah pada kadar penyegaran semula paparannya, serta pada kuasa pemprosesannya.

Di dalam model telefon pintar realme ini, ia menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 778G dengan sokongan 5G. Paparan beresolusi 1080p+ 6.6-inci padanya pula menggunakan panel LCD, sama seperti yang terdapat pada 9 pro. Cuma, model SE ini mempunyai kelebihan dari segi kadar penyegaran semula adaptif 144Hz pada paparannya.

Model telefon realme baharu ini menggunakan bateri berkapasiti 5,000mAh yang menyokong pengecasan realme Dart 30W. Menurut realme, kuasa pengecasannya mampu memenuhkan 50% bateri dalam tempoh 25 minit.

realme 9 SE 5G ditawarkan dengan pilihan RAM 6GB atau 8GB, namun hanya hadir dengan satu sahaja pilihan storan iaitu 128GB sahaja. Telefon ini juga menyediakan slot tambahan kad mikroSD dan juga ciri pemayaan RAM sehingga 5GB melalui Dynamic RAM Expansion.

Kamera realme 9 SE 5G

Untuk kameranya pula, realme 9 SE menampilkan tetapan tri-kamera yang emngandungi kamera utama 48MP, kamera monokrom dan kamera makro. Manakala pada bahagian hadapan pula disediakan kamera 16MP.

Telefon ini dilengkapkan juga dengan sokongan Wi-Fi 6, Bluetooth 5.2, dwi-SIM, bicu audio 3.5mm, dan pengimbas cap jari pada sebelah sisinya. Cuma apa yang agak aneh pada telefon ini adalah penggunaan antaramuka realme 2.0 yang berasaskan Android 11. Kebanyakan telefon pintar keluaran terkini di pasaran pada ketika ini menawarkan Android 12.

realme 9 SE hadir dengan pilihan warna Azure Glow dan Starry Glow. Ia dijual di pasaran India pada harga INR₹19,999 (~RM1,097) untuk 6GB+128GB dan INR₹22,999 (~RM1262) bagi 8GB+128GB. Bermula 14 Mac ini, realme mengumumkan tarikh jualan realme 9 SE 5G di pasaran India. Bagi pasaran rantau lain pula, realme masih lagi belum mengeluarkan apa-apa pengumuman mengenainya.

 

Tinggalkan komentar