Realme secara rasminya telah melancarkan Realme 9 Pro di Malaysia. Model telefon pintar Realme terbaru ini turut didatangkan dengan varian Plus dan standard.

Sungguhpun dinamakan sebagai ‘Plus’, model realme 9 Pro+ ini sebenarnya hadir dengan saiz skrin yang lebih lebih kecil iaitu 6.4-inci, berbanding 6.6-inci pada varian standard Realme 9 Pro. Bukan itu sahaja, model Plus ini juga hadir dengan kadar penyegaran semula skrin 90Hz berbanding 120Hz pada model standard.

Selain perbezaan dari segi paparan, kedua-dua model ini juga menggunakan pemprosesan yang berbeza. Untuk 9 Pro+, Realme telah memilih untuk melengkapkannya dengan MediaTek Dimensity 920. Manakala untuk 9 Pro pula, telefon berkenaan menggunakan Qualcomm Snapdragon 695. Dari segi ketersambungan, kedua-dua telefon ini menyokong rangkaian 5G.

Beza kamera Realme 9 Pro dan Realme 9 Pro Plus

Satu lagi perbezaan ketara antara kedua-dua siri Realme 9 Pro ini adalah pada kameranya. Pada 9 Pro+, telefon ini menggunakan Sony IMX766 f/1.8 50MP sebagai kamera utamanya. Manakala 9 Pro pula menggunakan kamera utama f/1.79 64MP.

Kedua-dua model ini juga dilengkapkan dengan kamera ultra lebar f/2.2 8MP dan satu kamera f/2.4 2MP yang bergandingan dengan kamera utama masing-masing. Turut ditawarkan, sebuah kamera 16MP disediakan pada sebelah hadapan masing-masing.

Perbezaan kedua-duanya juga turut melibatkan pada kapasiti bateri yang ditawarkan. 9 Pro+ menggunakan bateri berkapasiti 4,500mAh, manakala 9 Pro pula menggunakan bateri berkapasiti 5,000mAh.

Dari segi pengecasan, Realme 9 Pro+ menyokong pengecas SuperDart dengan kuasa sehingga 60W. Untuk model standard pula bagaimanapun, hanya terhad sehingga 33W sahaja.

Harga antara kedua-dua model ini juga berbeza dengan 9 Pro+ untuk RAM 8GB dan storan 256GB dijual pada harga RM1,599. Manakala bagi pilihan storan 128GB pula harganya adalah RM1,399.

Untuk model standard Realme 9 Pro pula, pilihan 8GB/128GB dijual pada harga RM1,199 manakala pilihan 6GB/128GB pula dijual pada harga RM1,099.

Bersempena promosi pengenalannya, varian Realme 9 Pro+ 8GB/256GB dan Realme 9 Pro 8GB/128GB masing-masing dijual pada harga  RM1,399 dan RM1,099 di Lazada pada 8 Mac ini.

Realme juga menawarkan 9 Pro 6GB/128GB pada RM949 menerusi Lazada pada 15 Mac ini. Bagaimanapun, jika anda ingin mendapatkan Realme 9 Pro+ pilihan 8GB/128GB, anda perlu menunggu sehingga 31 Mac ini.

Tinggalkan komentar