Microsoft akhirnya telah mula menawarkan sokongan untuk aplikasi Android pada Windows 11 pada minggu lepas. Sebelum mula mencuba fungsi berkenaan, pengguna sewajarnya perlu melihat pada keperluan sistemnya. Didapati, beberapa spesifikasi lebih tinggi berbanding keperluan sistem Windows 11 itu sendiri.
Kebanyakan pengguna telah laman menantikan sokongan aplikasi Android pada Windows 11 sejak pertama kali sistem operasi berkenaan dilancarkan pada tahun lalu.
Menerusi kemaskini utama yang pertama Windows 11 pada minggu lepas, sokongan Android ini ditawarkan kepada pengguna umum secara terhad. Pengguna-pengguna di Amerika Syarikat kini boleh menggunakan lebih dari 1,000 aplikasi Android dari Amazon AppStore dan juga fail APK (secara sideload).
https://www.youtube.com/watch?v=K6SpHPF40Ik
Menerusi panduan pemasangan aplikasi Android, Microsoft menyenaraikan keperluan sistem bagi fungsi tersebut. Sekali pandang, ia dilihat agak tinggi tetapi wajar bagi kemudahan pengguna pada masa akan datang.
Tiga keperluan yang paling penting perlu dipenuhi oleh sesebuah sistem Windows 11 bagi menggunakan fungsi aplikasi Android ialah:
- RAM 8GB (sebaiknya 16GB)
- Pemacu keadaan pejal (SSD)
- Fungsi pemayaan yang diaktifkan (virtualization enabled)
Windows 11 hanya memerlukan RAM sekurang-kurangnya 4GB dan boleh juga digunakan pada pemacu cakera keras (HDD). Apabila Microsoft pertama kali mengumumkan sistem operasinya tersebut, keperluan yang diutamakan adalah CPU-CPU model yang lebih terkini.
Bagaimanapun, aplikasi Android tidak direka untuk komputer desktop dan tidak dijalankan secara natif pada Windows 11. Pemayaan dan emulasi amat bergantung pada keupayaan perkakasannya. Justeru, pertambahan keperluan ini seperti RAM adalah sesuatu yang wajar. Aplikasi Android juga direka khusus untuk dijalankan pada pemacu flash memandangkan penggunaan HDD adalah terlalu perlahan.













