Perisian komputer tidak dapat lari dari masalah ralat yang kadangkala boleh berlaku di luar jangkaan kita. Walaupun pelbagai langkah pencegahan yang dilaksanakan, masalah tetap adakalanya tidak dapat dielakkan.
Baru-baru ini, seorang pengguna Apple iCloud tidak boleh mengakses ke perkhidmatan berkenaan sejak berbulan-bulan. Masalah yang berlaku dari September tahun lalu berpunca dari gara-gara nama sebenar beliau, Rachel True.
Untuk kebanyakan bahasa pengaturcaraan, “true” kebiasaannya digunakan untuk menandakan sesuatu arahan sebagai betul. Lagipun perkataan tersebut adalah sesuatu yang lazim di dalam Bahasa Inggeris dan mungkin juga nama individu.
Namun, masalah yang berlaku diluar jangkaan kebanyakan pihak ini bagaimanapun telah menyebabkan Rachel True berdepan masalah untuk log masuk ke akaun sendiri. Kemungkinan masalah yang berlaku disebabkan oleh sistem tersilap anggap dengan nama beliau dan telah bertindak menyekatnya.
Beliau telah meluahkan kekecewaan beliau menerusi Twitter kerana masalah yang berlaku sudah berbulan ini tidak menampakkan jalan penyelesaiannya.
Can get your coders to free my last name from icloud jail?
Been locked out for 6+ months because of an uncapitalized t in TRUE, my surname but also a computer command.Now that I a layman have explained problem to you a giant computer company, could u fix?@apple @AppleSupport https://t.co/TSEjUU1nXF
— Rachel True (@RachelTrue) March 6, 2021
Yuran langganan bulanan Apple iCloud masih lagi dibayar oleh beliau walaupun tidak dapat mengaksesnya. Mungkin untuk memastikan fail-fail simpanan di dalamnya kekal.
Jalan penyelesaian isu yang dihadapi oleh Rachel True ini tidak begitu mudah untuk diselesaikan kerana ianya melibatkan jutaan pengguna perkhidmatan awanan ini diseluruh dunia.
Pun begitu, Apple telah membawakan khabar berita kepada beliau dengan memaklumkan akan menghubungi semula pada minggu depan.













