Perkhidmatan Facebook, Instagram dan WhatsApp tidak dapat diakses selama enam jam awal pagi tadi, waktu Malaysia. Masalah gangguan capaian perkhidmatan ini melibatkan pengguna-pengguna di seluruh dunia.
Pengguna-pengguna di Asia tidak begitu terkesan dengan gangguan capaian ini kerana berlaku di luar waktu puncak. Perkhidmatan-perkhidmatan ini telah kembali pulih sekitar jam 7 pagi tadi.
Punca sebenar mengapa Facebook, Instagram dan WhatsApp tidak dapat diakses sepanjang tempoh pagi tadi adalah disebabkan oleh masalah pada konfigurasiĀ backbone router di rangkaian Facebook.
Insiden ini telah mengakibatkan seluruh perkhidmatan dalam talian pengguna dan juga sistem dalaman kegunaan kakitangannya tidak dapat diakses.
Pihak Facebook telah memohon maaf kepada penggunanya atas masalah yang berlaku ini. Dalam pada masa yang sama, pihak berkenaan turut memaklumkan keselamatan data pengguna-pengguna tidak terjejas di sepanjang tempoh tergendala tersebut.













