Pengeluaran PlayStation Vita secara rasminya telah pun ditamatkan tiga minggu yang lalu selepas penerimaan sekadar suam-suam kuku oleh peminat permainan konsol mudah alih. Namun, baru-baru ini di eBay dikatakan telah muncul sebuah prototaip pra-produksi PlayStation Vita dengan harga $19,999 (lebih kurang RM81,446).
Oleh kerana model berkenaan adalah peranti prototaip, sebahagian ciri yang ada padanya tidak didapati pada model pengeluaran yang ada di pasaran.
Antaranya adalah ciri mekanisme gelangsarnya yang menyerupai PSP Go. Selain itu, prototaip ini juga menggunakan kad memori SD biasa yang digunakan oleh kamera-kamera digital biasa di pasaran dan bukannya memori flash khusus Sony yang dikenali sebagai PS Vita Game Cards.
Tidak ketinggalan, melalui imejnya didapati prototaip ini menyediakan adapter LAN sungguhpun penjualnya tidak menyatakan ciri berkenaan. Oleh kerana ianya adalah prototaip, adalah lumrah beberapa ciri tidak disertakan walaupun sepatutnya perlu ada. Contohnya bateri. Prototaip ini tidak disertakan dengan pek bateri.
Jika ditakdirkan penggunaan kad memori SD biasa diteruskan, mungkin PS Vita masih lagi kekal relevan sehingga kini.
Sumber berita diperoleh dari eBay via GBAtemp










