Proton secara rasminya telah melancarkan varian plug-in hybrid (PHEV) bagi model eMAS 7 untuk pasaran Malaysia.
Model yang diperkenalkan pada bulan lepas ini dianggap sebagai kenderaan elektrik (EV) dwi-kuasa pertama Malaysia. Ia menggabungkan enjin petrol dengan bateri berkapasiti besar untuk motor elektriknya.
Model eMAS 7 PHEV ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu Prime, Premium, dan Premium Plus. Setiap satunya mempunyai tahap kelengkapan dan spesifikasi prestasi yang berbeza.
Dari segi rekaan luaran, model ini mengekalkan identiti eMAS 7 elektrik sepenuhnya. Namun dengan beberapa perbezaan kosmetik seperti rekaan lampu hadapan terpisah, grafik lampu belakang yang dikemaskini, serta bampar yang unik.
Menurut Proton, eMAS 7 PHEV diposisikan sebagai ‘EV dwi-kuasa’ yang menggabungkan enjin petrol dengan motor elektrik dan bateri besar untuk memberikan jarak perjalanan yang lebih jauh serta fleksibiliti yang lebih tinggi kepada pengguna.
Prestasi Proton eMAS 7 PHEV
Dari aspek prestasi, kesemua varian dikuasakan oleh enjin 1.5 liter naturally aspirated (NA) empat silinder yang menghasilkan 99 hp dan 125 Nm tork. Enjin ini dipadankan dengan transmisi hibrid khusus 11-dalam-1 serta motor tarikan elektrik yang menjana 218 hp dan 262 Nm tork.
Gabungan ini membolehkan pecutan 0–100 km/j dalam masa 8.0 saat bagi varian Prime dan Premium. Manakala varian Premium Plus mencatatkan masa 8.2 saat.
Bagi sistem bateri, varian Prime dan Premium menggunakan bateri LFP CATL berkapasiti 18.4 kWh yang menawarkan jarak gerak elektrik sejauh 83 km (WLTP) dan jarak keseluruhan mencecah 943 km.
Manakala varian tertinggi Premium Plus dilengkapkan dengan bateri Aegis Short Blade LFP 29.8 kWh. Ia meningkatkan jarak gerak elektrik kepada 146 km dengan jarak keseluruhan sehingga 996 km.
Berikut adalah spesifikasi dan ciri utama Proton eMAS 7 PHEV:
- Enjin: 1.5L 4-silinder (99 hp, 125 Nm)
- Motor Elektrik: 218 hp, 262 Nm
- Bateri: 18.4 kWh (Prime/Premium) / 29.8 kWh (Premium Plus)
- Pengecasan: DC 30 kW (Prime/Premium), DC 60 kW (Premium Plus), AC 6.6 kW (Semua varian)
- Infotainmen: Skrin 15.4 inci dengan Flyme Auto OS (Premium/Premium Plus ada paparan Head-Up 13.8 inci)
- Keselamatan: 7 beg udara, ADAS Tahap 2 (Standard), Pemantauan titik buta (Premium/Premium Plus)
Proton eMAS 7 PHEV dijual pada harga atas jalan tanpa insurans bermula RM109,800 untuk Prime, RM123,800 untuk Premium, dan RM129,800 untuk Premium Plus.
Pembeli ditawarkan jaminan kenderaan enam tahun tanpa had perbatuan serta jaminan bateri bervoltan tinggi selama lapan tahun atau 160,000 km.
Sempena pelancaran, 5,000 pelanggan pertama layak menerima rebat istimewa bernilai RM4,000 serta pakej Five Power Packs bernilai sehingga RM7,500.













